Kuala Lumpur: Moratorium selama enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam tanpa syarat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian itu membabitkan semua sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

"Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

"Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secaraa utomatik.

"Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank," katanya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, permohonan akan dibuka pada 7 Julai.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Katanya, peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman yang berkaitan.

"Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

"Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan, gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:02 PM