BNM bersama institusi perbankan sudah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober lalu.
BNM bersama institusi perbankan sudah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober lalu.

BANK Negara Malaysia (BNM) meminta peminjam individu dari golongan B40 dan M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro untuk menghubungi bank masing-masing bagi memilih kelonggaran yang diberi.

BNM berkata, bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta PKS mikro, mereka hanya perlu menghubungi bank dan membuat pilihan yang diberi.

"Mereka boleh memilih sama ada moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

"Untuk pilihan ini, kelulusan diberi secara automatik," katanya.

Menurut bank pusat, bagi golongan M40 yang juga penerima BPN, mereka perlu buat pengisytiharan kendiri.

"Pihak bank perlu mendapatkan maklumat siapa individu yang terjejas dan mereka perlu tampil menghubungi bank.

"Melalui pilihan ini, peminjam boleh mengurangkan ansuran bulanan pinjaman mereka dan kelulusan diberi secara automatik," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan mengenai bantuan moratorium pinjaman bank bagi golongan terjejas.

Katanya, prinsip utama adalah tanggungjawab dan keadilan di mana tidak adil bagi mereka yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium.

"Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat.

"Ini antara sebabnya mereka yang mampu wajar membayar balik pinjaman mereka," katanya.

Tengku Zafrul berkata, selepas tamatnya moratorium automatik, BNM bersama institusi perbankan sudah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober lalu dengan lebih 700,000 permohonan diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:00 AM