BNM mengumumkan peruntukan tambahan untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF).
BNM mengumumkan peruntukan tambahan untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) berjumlah RM2 bilion serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) sebanyak RM200 juta.

BNM dalam satu kenyataan berkata, tambahan itu meningkatkan jumlah peruntukan TRRF kepada RM4 bilion.

Katanya, kemudahan terbabit akan disediakan sehingga 31 Disember 2021 atau selepas peruntukan digunakan sepenuhnya mana-mana yang lebih awal.

"Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang juga penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Penjana kini boleh memohon TRRF tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.

"Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan Penjana yang ada," katanya.

Menurutnya, DRF 2021 dengan peruntukan sebanyak RM200 juta ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

BNM berkata, DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan.

"Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

"Tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, termasuk moratorium selama enam bulan bagi bayaran pokok dan faedah.

"Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50 peratus setahun termasuk fi jaminan.

"Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai 2021 atau selepas peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal," katanya.

Perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:00 AM