Anggota polis di SJR Jalan Hamzah, Kota Bharu. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Anggota polis di SJR Jalan Hamzah, Kota Bharu. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kelantan menjadi negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tiga lagi daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang dikenakan perintah itu bermula tengah malam ini.

Pelaksanaan PKP di tiga daerah berkenaan sehingga 29 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu berikutan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak yang turut membabitkan tiga daerah itu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes.

"Ini menjadikan ketiga-tiga jajahan itu bertukar kepada zon merah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tiga daerah terbabit.

Menurutnya, pelaksanaan PKP itu untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti terbabit dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:56 PM