GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kalangan pekerjanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 243 kes positif Covid-19 dengan jumlah naik mendadak dalam tempoh seminggu hasil saringan dilakukan ke atas pekerja.

"Melihat situasi ini, KKM mengesahkan masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan pembinaan Empangan Baleh kerana masih ramai pekerja yang belum disaring.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan itu berkuat kuasa esok sehingga 26 Mei ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melakukan pengesanan awal kes dan mengelak penularan ke komuniti berdekatan.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Sungai Duan, Mukah, Sarawak yang membabitkan sembilan rumah panjang akan diperluaskan kepada enam lagi rumah panjang serta sebuah sekolah di kawasan berdekatan.

Katanya, enam rumah panjang terbabit adalah Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu, Rumah Panjang Rimong, Rumah Panjang Undun, Rumah Panjang Lindan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duan.

"Hasil penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju meluaskan kawasan PKPD di enam rumah panjang dan sekolah berkenaan bermula esok hingga 6 Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penamatan tiga PKPD di Sabah iaitu Taman Villa Emas, Tawau; Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud; Pasar dan Perumahan Sim Sim serta Kampung Sungai Obar Batu 7, Sandakan.

Beliau berkata, kesemua PKPD itu akan ditamatkan mulai esok seperti yang dijadualkan.

Tambah beliau, turut ditamatkan adalah PKPD di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan, Pahang selepas tiada lagi sampel menunggu keputusan dengan kes terakhir dilaporkan pada 14 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:28 PM