GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang.

PKPD membabitkan Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Kelisa, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, 3, 4, dan Desa Bangau.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan berkenaan akan bermula esok sehingga 6 Mac.

Menurutnya, keputusan dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan itu.

"Sehingga kini, sebanyak 72 kes dilaporkan membabitkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan itu.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan mengawal jangkitan dalam komuniti.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Bandar Raub Perdana, Raub, ditamatkan pada hari ini.

"KKM melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes positif direkodkan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti berkenaan terkawal dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk dikenalpasti, disampel serta diasingkan," katanya.

Tambahnya, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di kawasan itu lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan pada 25 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 6:00 PM