Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan perumahan di Sabah dan satu kampung di Sarawak.

Kawasan terbabit adalah Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau; Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya di Kunak, Sabah serta Kampung Boyan, Kuching, Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan bermula Sabtu ini sehingga 4 Jun.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sembilan kes positif Covid-19 di Kampung Idani, manakala Kampung Pisang (7 kes), Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya (12 kes) serta Kampung Boyan (34 kes).

"KKM memaklumkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan dan terdapat peningkatan kes secara ketara dalam masa singkat.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM menghalang pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan wabak ke kawasan lain.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:21 PM