Agensi

Berlin: Baru berusia 18 tahun, tetapi remaja dari Jerman ini mencipta rekod apabila diumumkan bilionair termuda di dunia pada 2021.

Kevin David Lehmann memiliki kekayaan AS$3.3 bilion (RM13.7 bilion) selepas mewarisi 50 peratus saham dalam rangkaian kedai ubatan Jerman dm-drogerie markt dari ayahnya, Guenther Lehmann.

Senarai jutawan tahunan ke-35 Forbes itu dikeluarkan pada 6 April lalu.

Portal Business Insider melaporkan Dm-drogerie markt yang menjadi sumber kekayaan Lehmann adalah rangkaian kedai ubat terkemuka di Jerman sejak 1974.

Menurut laman web syarikat, mereka memiliki lebih 41,000 pekerja di 2,000 kedai rangkaian di seluruh Jerman.

Menurut Forbes, Lehmann dan ayahnya tidak terbabit secara aktif dalam syarikat itu dan hanya sedikit diketahui mengenai mereka.

Berdasarkan senarai itu juga, jutawan termuda kedua di dunia adalah Wang Zelong dari China berusia 24 tahun dengan kekayaan bernilai AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion).

Kedudukan ketiga dan empat dipegang pasangan adik-beradik dari Norway iaitu Alexandra dan Katharina Andresen yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun dan memiliki kekayaan bernilai AS$ 1.4 bilion (RM5.8 bilion).

Mereka berdua memiliki sebahagian daripada saham syarikat keluarga, Ferd iaitu syarikat pelaburan bernilai jutaan dolar.

Senarai Forbes mengumpulkan maklumat individu terkaya di dunia menggunakan harga saham dan kadar pertukaran pada 5 Mac dan hanya menganggap individu yang nilai bersihnya lebih daripada AS$1 bilion (kira-kira RM4.13 bilion) sebagai bilionair.

Menurut senarai itu, kini terdapat 2,755 jutawan di dunia iaitu jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun pandemik melanda dunia pada 2020, jutawan dunia juga lebih kaya daripada sebelumnya walaupun anggaran keuntungan kolektif mereka berbeza-beza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:30 AM