ELON Musk. FOTO Fail Reuters
ELON Musk. FOTO Fail Reuters
AFP

Paris: Kedudukan pemilik Tesla, Elon Musk di tempat teratas dalam senarai jutawan Forbes tergelincir seketika, Rabu lalu, apabila diatasi Bernard Arnault, yang keluarganya memiliki jenama mewah terkemuka dunia, LVMH.

Dengan saham teknologi Amerika Syarikat (AS) merosot apabila kadar faedah dan kebimbangan kemelesetan meningkat, kekayaan Musk secara dasarnya jatuh di bawah keluarga Arnault.

Bagaimanapun, Musk kembali merampas kedudukan teratas kira-kira 5.30 petang dengan nilai kekayaan AS$184.9 bilion (RM813.38 bilion) mengatasi Arnault dan keluarganya pada AS$184.7 bilion (RM812.50 bilion)

Ahli perniagaan India, Gautam Adani pula berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan AS$134.8 bilion (RM592.99 bilion) serta pengasas Amazon Jeff Bezos di tempat keempat dengan nilai AS$111.3 bilion (RM489.61 bilion).

Pada 2021, Arnault juga mendahului senarai Forbes selama beberapa jam.

Kumpulan LVMH miliknya, puluhan jenama mewah termasuk Louis Vuitton, Givenchy dan Kenzo terus mencatatkan pertumbuhan hasil dan keuntungan kukuh walaupun menghadapi masalah ekonomi global terkini.

Kekayaan Musk sedikit tergugat terutama membabitkan turun naik harga saham Tesla, selain kontroversi selepas mengambil alih Twitter pada penghujung Oktober lalu.

Kedudukan kekayaan utama lain yang disusun penyedia data kewangan Bloomberg juga merekodkan kedudukan Musk dan Arnault hampir sama.

Menurut ranking Bloomberg, yang dikira selepas pasaran AS ditutup Selasa lalu, Musk mendahului pada AS$178.9 bilion (RM786.98 bilion) diikuti Arnault pada AS$165.1 bilion (RM726.27 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 11:27 AM