Najiy Jefri


SAMA seperti wanita lain, pelakon jelita ini tidak berselindung dirinya turut mempunyai impian untuk berkahwin.

Malah pada usia 27 tahun, Syifa Melvin mengharapkan sinar untuk memulakan sebuah keluarga.

Namun, melihat tanggungjawab yang perlu digalas sebagai anak serta ahli perniagaan jenama Kekasih, Syifa enggan terburu-buru.

Secara jujur memberitahu, kewangan adalah punca dia enggan fokus terhadap percintaan, namun yakin ini adalah keputusan yang tepat.

"Ramai yang beranggapan kehidupan selepas berkahwin ini mudah, sebaliknya banyak komitmen yang perlu diambil kira dan diperhalusi.

"Ketika ini fokus saya adalah untuk membantu keluarga dahulu. Saya mahu membahagiakan ibu bapa serta menguruskan perniagaan Kekasih sebaik mungkin.

"Rasanya buat masa ini bukan waktu yang sesuai untuk saya memberi sepenuh tumpuan terhadap cinta," katanya.

Menurut Syifa, dia mempunyai pelbagai impian yang ingin dibuat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Selain ingin membahagiakan keluarga, saya ada impian yang ingin dibuat seperti mempunyai aset yang kukuh serta membeli segala keinginan diri yang belum lagi tercapai.

"Insya-Allah kalau sudah sampai jodoh saya akan kongsikan kepada semua. Lagipun berita perkahwinan ini adalah sesuatu yang perlu dikongsikan. Doakan semoga jodoh saya hadir dengan insan yang tepat. Saya tak nak lagi ulas soal teman lelaki atau jodoh," katanya.

Ditanya mengenai status hubungannya dengan bintang bola sepak kebangsaan Safawi Rasid, Syifa enggan membuka mulut.

"Maaf saya enggan komen perkara itu. Biar saya simpan sendiri saja. Dalam soal ini, saya perlu kumpul kekuatan untuk kongsikan kepada semua," katanya.

Bercerita mengenai karier sebagai pelakon dan pengacara yang dibina hampir lima tahun, Syifa berkata, walaupun dia jarang dilihat di kaca televisyen, perkara itu tidak memberi tekanan kepadanya.

BIARPUN dihujani tawaran lakonan namun Syifa belum terfikir untuk aktif berlakon.
BIARPUN dihujani tawaran lakonan namun Syifa belum terfikir untuk aktif berlakon.

Sebaliknya dia menggunakan setiap peluang dalam bidang hiburan sebagai platform untuk dirinya.

"Jujur, bidang ini bukan keutamaan saya sebaliknya gunakan peluang ini sebagai platform untuk bergiat aktif dalam perniagaan.

"Saya juga akui tidak terlalu aktif dalam bidang lakonan kerana saya akan berlakon mengikut 'mood'. Tawaran sentiasa ada cuma saya yang tiada masa untuk memberikan sepenuh komitmen di set penggambaran kerana fokus saya lebih kepada perniagaan.

"Apapun biar masa menentukan. Kalau ada rezeki pada waktu yang saya boleh buat, saya okay saja," katanya.

Aktif bantu golongan memerlukan

Siapa sangka, Syifa bersama tiga lagi adik-beradiknya boleh dikatakan berjaya dalam perniagaan apabila sudah membantu ramai orang terutama ibu tunggal dan suri rumah.

"Apa yang membuatkan saya rasa puas terbabit dalam perniagaan adalah dapat menolong ramai orang. Saya dapat bantu orang susah, asnaf, stokis dan 'leader' yang tidak pernah mendapat pendapatan yang tinggi, tapi kini jualan mereka mencecah ratusan serta jutaan ringgit.

"Ada suri rumah yang tidak sedar mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan, sekali gus membuka mata untuk terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan," katanya.

Menurut Syifa, penularan Covid-19 tidak menjejaskan perniagaannya malah ramai yang ingin turut serta menjana pendapatan.

"Alhamdulillah jika kita niat baik untuk berkongsi rezeki dengan orang lain pasti Allah permudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:00 AM