SYUKUR, Zoey gembira perniagaan berjaya dan kerjaya seni masih bertahan.
SYUKUR, Zoey gembira perniagaan berjaya dan kerjaya seni masih bertahan.
Norhayati Nordin


USAHA tangga kejayaan. Itulah yang boleh dikata mengenai pencapaian dikecapi pelakon Zoey Rahman dalam bidang perniagaan diceburinya sejak empat tahun lalu.

Meski empayar perniagaan produk kosmetik, Mika Series dibina makin kukuh, Zoey tetap tidak melupakan kerjaya seninya. Katanya, dia akan terus aktif berlakon dan mengacara.

"Saya gembira perniagaan dan kerjaya seni bergerak seiring. Malah, saya bersyukur masih mendapat tawaran berlakon kerana dari dahulu sampai sekarang memang tidak memilih watak.

"Watak pelakon pembantu dan sambilan pun saya terima hingga kini kerana suka berlakon. Bagi saya, walau lakonan bukan lagi keutamaan tapi sentiasa mahu terus melakukannya.

"Alhamdulillah, rezeki pun masih ada dan saya ambil sahaja. Setakat ini, boleh dikata produk lakonan saya masih diterima dan tak sangka juga drama Black yang disiarkan di Viu mendapat sambutan," katanya.

Zoey yang kebelakangan ini sering menjadi perhatian ramai dengan apa sahaja kisahnya berkata dia tidak pernah terfikir mahu mengejar popular. Katanya, apa yang berlaku itu tidak pernah dirancang.

"Saya tahu pada era sekarang, orang sanggup buat apa sahaja untuk kisah mereka tular. Tapi, saya pula tak sangka perkara- perkara yang berlaku spontan itu sangat menarik perhatian.

"Walaupun ada yang kecam dan kata macam-macam, saya okay dan tak terasa hati langsung. Pada saya, biarkanlah mereka kerana setiap diperkatakan itu menjadi pembakar samangat," ujarnya.

Menurut Zoey lagi, dia sedikitpun tiada perasaan marah kepada orang yang mengatanya terutama pada kalangan netizen. Ujarnya, penting untuk bertindak matang dalam mengawal emosi diri.

Ditanya juga mengenai dia yang masih bujang, Zoey berkata semua orang mengimpikan kebahagiaan dan memiliki keluarga sendiri. Bagaimanapun, dia akur jodohnya belum sampai.

ZOEY akan terus berlakon selagi dapat peluang dan tak pilih watak.
ZOEY akan terus berlakon selagi dapat peluang dan tak pilih watak.

"Sekarang, hidup membujang pun saya gembira kerana belum puas membahagiakan ibu bapa. Jadi, biarlah saya berbakti kepada mereka dahulu dan jika ada jodoh pasti tidak ke mana.

"Apapun, saya berharap semoga ada jodoh juga. Tapi, sekarang saya selesa memberi fokus pada perniagaan yang semakin mendapat sambutan. Tak sangka, produk Mika Series diterima sangat baik," katanya.

Zoey yang hingga kini masih dilabel 'berwajah jambu' berkata dia selesa positif. Katanya, apa yang pasti kejayaan dinikmati dalam bisnes kini adalah rezeki Allah yang amat disyukurinya. Begitu juga, kerjaya seni yang masih relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:40 AM