SYIFA enggan bercakap kisah hubungan cinta buat masa ini
SYIFA enggan bercakap kisah hubungan cinta buat masa ini
Najiy Jefri


PELAYARAN cinta pelakon, Syifa Melvin dengan kekasihnya, Safawi Rasid pernah menggemparkan industri hiburan tanah air sekitar awal Mac lalu.

Enggan mengenang kisah penuh ujian dalam melalui fasa perhubungan dengan bintang bola sepak negara dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin kini memilih untuk mengunci mulut dalam berkongsi kisah cinta.

Syifa berkata, biarlah apa yang berlaku antara mereka kekal rahsia dan menyerahkan segalanya kepada takdir Allah.

"Kalau boleh saya tidak mahu bercakap kisah hubungan cinta lagi. Saya pilih untuk kunci mulut daripada terus bercakap mengenai perhubungan kami.

"Biarlah apa yang berlaku hanya kami saja yang simpan selain menyerahkan soal jodoh kepada takdir Ilahi.

"Mungkin dengan cara ini keadaan dan perjalanan hubungan kami akan lebih selamat," katanya.

Kata Syifa, kontroversi yang berlaku mengajarnya untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan dan perlu kuat mendepani segala ujian hidup.

SYIFA lebih seronok terbabit dalam dunia pengacaraan atau pengiklanan.
SYIFA lebih seronok terbabit dalam dunia pengacaraan atau pengiklanan.

"Banyak iktibar yang saya peroleh daripada insiden yang berlaku. Antaranya, saya kena bersedia dengan segala kemungkinan terutama persediaan dari segi mental.

"Kita tak tahu bila akan kena kecam dan diuji. Selain itu, jangan terlalu gembira kerana Allah akan turunkan ujian pada bila-bila masa saja dan saya perlu bersedia.

"Alhamdulillah, saya ambil setiap yang berlaku dari sudut positif dan sedaya upaya memperbaiki diri menjadi insan lebih baik dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Instagram mendakwa kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan tekanan daripada Syifa untuk berkahwin dengan Safawi.

Susulan desakan itu, pemain Harimau Malaya itu dikatakan hilang fokus hingga gagal memberi aksi terbaik di padang.

Karier

Tutup cerita mengenai perihal peribadi, Syifa diajak berkongsi mengenai karier seni yang dibina hampir empat tahun sebagai pelakon dan pengacara.

Walaupun kelibatnya dalam industri seni seakan-akan tidak 'bercahaya', perkara itu tidak memberi tekanan kepada dirinya. Sebaliknya dia hanya menggunakan setiap peluang dalam bidang hiburan sebagai platform untuk dirinya.

"Jujur, bidang ini bukanlah keutamaan saya sebaliknya gunakan peluang ini sebagai platform untuk bergiat aktif dalam bidang perniagaan.

"Malah saya juga akui tidaklah terlalu aktif dalam bidang lakonan kerana akan berlakon mengikut 'mood'. Tawaran memang sentiasa ada cuma saya yang tiada masa untuk memberikan sepenuh komitmen di set penggambaran kerana fokus saya lebih kepada perniagaan.

"Lagipun, saya dapat rasakan lakonan bukanlah jiwa saya. Saya sudah cuba berlakon drama beberapa kali, tapi tidak dapat kepuasan yang sebenar kerana perlu menunggu lama di set. Cuma, setiap kali penggambaran saya akui teruja," katanya.

Menurut Syifa, dia lebih seronok terbabit dalam dunia pengacaraan atau pengiklanan.

"Rasanya minat saya lebih terarah kepada dunia pengacaraan dan pengiklanan. Sekitar 2017 saya pernah mengacarakan program Pesona Muslimah dan ketika itu saya akui seronok apabila dapat berkongsi sesuatu yang positif kepada penonton.

"Kalau ada tawaran seumpama itu saya pasti akan lakukan dengan lebih baik dan tiada masalah untuk melakukannya," katanya.

SYIFA bersama tiga adik-beradiknya berjaya dalam bisnes diceburi.
SYIFA bersama tiga adik-beradiknya berjaya dalam bisnes diceburi.

Bisnes

Siapa sangka, Syifa bersama tiga lagi adik-beradiknya boleh dikatakan berjaya dalam perniagaan apabila sudah membantu ramai orang terutama ibu tunggal dan suri rumah.

"Apa yang membuatkan saya rasa puas terbabit dalam perniagaan adalah dapat menolong ramai orang. Saya dapat bantu orang susah, asnaf, stokis dan 'leader' yang tidak pernah mendapat pendapatan yang tinggi tapi kini jualan mereka sudah mencecah ratusan serta jutaan ringgit.

"Ada suri rumah yang tidak sedar mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan sekali gus membuka mata untuk terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan," katanya.

Ditanya tidakkah dia berasa sukar apabila menjalankan perniagaan dengan adik-beradik, Syifa nyata berkongsi rahsia kejayaannya itu.

"Satu kunci apabila nak buat bisnes dengan adik-beradik adalah jangan rambang mata bila tengok duit. Tuhan sudah bukakan pintu rezeki dan jangan sesekali persiakan.

"Jika dulu kami empat beradik tiada duit tetap tapi Allah beri peluang dan rezeki dan jalankan tanggungjawab ini dengan ikhlas pasti akan dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:00 AM