GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik dan Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Lumpur: Faktor kewangan meruncing ditambah dengan tekanan duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menjadi penyumbang kepada perbalahan dalam rumah tangga.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, walaupun kestabilan kewangan bukan aspek penting menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga namun faktor itu alasan popular perceraian di negara ini.

"Saya bersetuju faktor kewangan salah satu punca pergaduhan suami isteri kerana ia menjadi satu keperluan hari ini.

"Kalau tiga empat bulan mungkin ada yang mampu bertahan, tetapi jika berlarutan sampai setahun tidak mustahil ia menjadi barah dalam rumah tangga, malah banyak kes mahkamah meminta cerai pun disebabkan masalah nafkah (kewangan).

"Selain itu, keadaan bertambah buruk apatah lagi ketika PKP tekanan duduk di rumah semakin bertambah akibat tidak dapat keluar ke mana-mana untuk menghilangkan tekanan," katanya mengulas peningkatan kes perceraian ketika PKP.

Mengulas lanjut, katanya, setiap pasangan perlu banyak bersabar melalui cabaran terutama ketika pandemik Covid-19 dan berusaha menyelamatkan rumah tangga sebaik mungkin.

"Dalam keadaan sekarang, tidak dinafikan semua pihak terkesan dengan pandemik ini hingga ada yang hilang kerja, pendapatan berkurangan serta wang simpanan habis digunakan untuk menampung keperluan harian.

MUSA AWANG
MUSA AWANG

"Namun, kita perlu rasional misalnya suami sebagai ketua keluarga perlu berusaha lebih mencari alternatif sumber lain dan tidak boleh bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.

"Selain itu, bantuan yang disalurkan kerajaan perlu direbut dan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu meringankan beban hutang dan perbelanjaan yang ditanggung," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan lebih 80 Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie PGSM di seluruh negara bagi membantu masyarakat Muslim mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma ketika berdepan kesukaran Covid-19.

"Sejak dilancarkan, lebih 300 konsultasi diberikan kepada pasangan memerlukan termasuk mereka yang mahu bercerai dan menyelamatkan rumah tangga.

"Khidmat disediakan ini bagi mempermudahkan orang ramai, namun keputusan sama ada meneruskan perceraian terpulang kepada masing-masing, tetapi sebaik mungkin apa cara sekalipun perceraian bukanlah jalan penyelesaian semua masalah.

"Nasihat saya, jika berlaku lafaz cerai ketika pandemik ini, mohon buat pengesahan segera dan rujuk kembali jika masih ada baki talak dalam tempoh tiga bulan iddah kerana jika tidak, perlu melalui proses permohonan baharu untuk bernikah semula dan mungkin memakan masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:50 AM