PENAWARAN perkhidmatan di Klinik Guaman dan Undang-Undang, Usim sehingga ke perbicaraan mahkamah.
PENAWARAN perkhidmatan di Klinik Guaman dan Undang-Undang, Usim sehingga ke perbicaraan mahkamah.
Muhammad Saufi Hassan


Wanita sering menjadi mangsa kepada ketidakadilan khususnya ketika pascaperceraian, sekali gus hak golongan berkenaan diabaikan tanpa pembelaan sewajarnya.

Faktor ini juga didorong oleh kekurangan pengetahuan dan prosedur perundangan syariah yang mengakibatkan wanita terus ditindas serta terpaksa meneruskan kehidupan dalam kepayahan bersama anak-anak tanpa nafkah.

Menyedari isu berkenaan, ia mendorong sekumpulan peguam syarie untuk bekerjasama dan memberikan perkhidmatan nasihat secara percuma kepada wanita yang menghadapi masalah rumah tangga.

Hasil inisiatif itu, lahir Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Koordinator Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang, Dr Norsuhaida Che Musa menyatakan bahawa inisiatif itu sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu selepas melihat senario wanita pascaperceraian yang kurang mendapat pembelaan.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang berkata, matlamat penubuhan klinik ini untuk memastikan wanita tidak terus melakukan kesilapan dalam mengharungi kemelut rumah tangga kerana kekurangan maklumat dan nasihat perundangan.

Katanya, peguam di klinik itu membantu wanita mengetahui hak, tindakan perlu dilakukan selepas diceraikan, merangka strategi untuk memudahkan permohonan atau tuntutan dan menggalakkan penyelesaian di luar mahkamah.

"Kira-kira 40 kes rumah tangga dirujuk di klinik ini dan lebih 50 peratus kes sudah difailkan ke mahkamah untuk perbicaraan dan ia adalah satu bentuk kejayaan dalam memberikan pengetahuan serta pembelaan kepada wanita.

KLINIK Guaman dan Undang-Undang, Usim menawarkan khidmat konsultasi percuma untuk menyelesaikan masalah wanita yang berdepan kemelut pascaperceraian.
KLINIK Guaman dan Undang-Undang, Usim menawarkan khidmat konsultasi percuma untuk menyelesaikan masalah wanita yang berdepan kemelut pascaperceraian.

KLINIK Guaman dan Undang-Undang, Usim tawar khidmat nasihat secara percuma.
KLINIK Guaman dan Undang-Undang, Usim tawar khidmat nasihat secara percuma.

KHIDMAT nasihat ini turut dilaksanakan secara atas talian dan masih berjalan sehingga hari ini.
KHIDMAT nasihat ini turut dilaksanakan secara atas talian dan masih berjalan sehingga hari ini.

"Ada segelintir wanita yang datang ke klinik ini kerana sudah lama memendam masalah rumah tangga dan kurang terdedah untuk mendapatkan khidmat guaman serta prosedur yang perlu dilakukan," katanya.

Dr Norsuhaida berkata, wujud tanggapan dalam wanita ini apabila membabitkan prosedur perundangan serta melantik peguam, ia satu proses renyah dan memerlukan sumber kewangan kukuh.

Atas dasar itu, menurutnya, ramai wanita hanya memendam rasa walaupun sudah berdepan kemelut rumah tangga kerana kurang mengetahui kaedah jalan keluar serta kurang pengetahuan berkenaan hak mereka.

Katanya, keistimewaan ditawarkan di klinik itu ialah kos khidmat guaman memfailkan kes ke mahkamah adalah lebih rendah berbanding firma guaman lain.

"Sebelum ini, peguam di klinik ini memberi khidmat pro bono iaitu khidmat guaman percuma kepada pelanggan mempunyai masalah kewangan.

"Ramai wanita datang ke klinik ini dalam keadaan kemurungan kerana tertekan dengan masalah rumah tangga.

"Tetapi, mereka mampu tersenyum selepas mengikuti sesi konsultasi di klinik ini, sekali gus ia memberikan impak positif," katanya.

Beliau berkata, wanita yang mempunyai masalah rumah tangga atau diceraikan perlu terlebih dahulu mendapatkan konsultasi guaman kerana ia boleh menjimatkan masa dan kos mereka.

Katanya, wanita hari ini perlu lebih cakna dengan hak mereka serta langkah yang wajar diambil jika berdepan masalah rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 7:00 AM