Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hati ibu bapa mana yang tidak terusik apabila anak sulung yang dinantikan lahir dalam keadaan tidak sempurna.

Itulah yang berlaku kepada pasangan suami isteri apabila anak sulung mereka, Nur Nia Aurora Muizzudin yang kini berusia 28 hari dilahirkan dalam keadaan cacat fizikal.

Ibunya, Norfaziera Nor Azman, 26, berkata, Aurora dilahirkan di Hospital Port Dickson (HPD) dalam keadaan tangan kanan pendek dan hanya ada dua jari, telinga kanan tidak sempurna, tulang belakang di sebelah atas tidak bercantum dan lelangit sumbing.

"Selepas proses bersalin selesai, saya dibawa ke wad bersalin tetapi tidak keluar dengan anak kerana dia memerlukan pemeriksaan lanjutan akibat masalah dihadapinya itu.

"Kemudian baru doktor beritahu anak saya ada masalah tangan dan telinga tidak sempurna atau lebih tepat ia cacat.

"Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya saya sehingga mengambil masa beberapa jam kemudian untuk melihat keadaan Aurora di wad kanak-kanak," katanya ketika ditemui di rumahnya keluarganya di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson.

Katanya, Aurora sepatutnya lahir pada 30 Januari tetapi cepat dua minggu dengan berat dua kilogram ketika dilahirkan secara normal.

"Selepas itu baru saya dimaklumkan lelangit anak juga sumbing dan tulang belakang sebelah atas tidak bercantum menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan berkala untuk dinilai dan tindakan seterusnya.

"Bagi saya apa pun keadaannya, saya terima itu sebagai ujian Allah dan amat menyayanginya kerana dia adalah permata sulung saya bersama suami, Muizzudin Mohd Nizam, 26, yang bekerja di kilang yang sama di Seremban," katanya tenang.

AURORA bersama ibunya, Norfaziera ketika ditemui di rumah keluarganya di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AURORA bersama ibunya, Norfaziera ketika ditemui di rumah keluarganya di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Norfaziera berkata, doktor banyak memberi nasihat agar saya terima kenyataan yang anak saya tidak sempurna fizikal.

"Memang saya dan suami memerlukan masa juga selepas beberapa hari menjaganya, saya dapat rasakan dia bertuah dilahirkan sebagai 'anak syurga' dan Aurora tidak putus-putus dilawati orang ramai termasuk pemimpin masyarakat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza," katanya.

Katanya, dia yang masih berpantang di rumah keluarga di Ladang Sengkang, Pasir Panjang. Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Salina Nadzir berkata, pihaknya datang melawat dan cuba mendapatkan bentuk bantuan yang perlu diberikan kepada pasangan yang bekerja di sebuah kilang di Seremban.

"Buat masa ini kami difahamkan mereka masih membawa anak mereka dengan temujanji berjumpa doktor pakar di HPD untuk tindakan selanjutnya yang mana dalam masa terdekat berjumpa dengan doktor pakar tulang pada 24 Februari ini di HPD.

"Semua masih dalam proses kajian dan pemeriksaan kerana Aurora masih bayi lagi, namun mereka bersedia jika anak mereka perlu dilakukan pembedahan bagi membetulkan tulang belakang yang bengkok dan lelangit yang sumbing," katanya.

Salina berkata, orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga ini bolehlah terus menyumbang ke akaun CIMB 7631958020 atas nama Norfaziera Nor Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 5:01 PM