Sri Kartika Ayu Amri dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan penurunan berbanding semalam apabila merekodkan 1,168 kes, dengan tiga kematian hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu di seluruh negara sebanyak 39,357 kes dengan 11,666 kes aktif.

Beliau berkata, sebanyak 616 kes baharu dilaporkan di Sabah; Selangor (247); Labuan (104); Negeri Sembilan (68); Perak (37); Kuala Lumpur (28); Sarawak (25); Pulau Pinang (18); Kedah (15); Johor (5); Terengganu (3) dan Melaka (2).

"Secara keseluruhannya, 229 kes yang direkodkan hari ini adalah berkaitan kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara iaitu 121 kes Kluster PTS Tawau, Kluster Penjara Sandakan (91), Kluster Penjara Kepayan (8), Kluster Tembok (6) dan Kluster Penjara Seberang Perai (3)," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 87 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,029 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 27,409 kes atau 69.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat tiga kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan dua lelaki serta seorang wanita yang mempunyai latar belakang penyakit kronik berusia antara 51 hingga 62 tahun di Sabah.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 282 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:58 PM