Mohd Roji Kawi


KUCHING mencatat angka tertinggi kes positif Covid-19 sejak kes dikesan semula pada 6 Julai lalu.

Sebelum tarikh berkenaan, Sarawak mencatat sifar kes positif dalam tempoh tujuh hari berturut-turut sejak 29 Jun.

Bagaimanapun, dalam tempoh 20 hari sehingga hari ini, 78 kes positif dilaporkan di Sarawak dengan 58 daripadanya dikesan di Kuching manakala Samarahan (12), Bintulu (5) dan Sibu, Lundu serta Bau masing-masing satu kes dengan mangsa berusia antara 22 hingga 72 tahun.

Peningkatan mendadak kes di Kuching disumbang sembilan kluster dengan Kluster Sentosa sahaja mencatatkan 20 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, selain Kluster Sentosa, lapan kluster lagi masih aktif ialah Kluster Syarikat Kejuruteraaan (4), Kluster Mambong (5), Kluster Pusat Perubatan (3), Kluster Jupiter (3), Kluster Pasar Stutong (7), Kluster Jeti Kuching (2), Kluster PUI Melbourne (2) dan kluster baharu iaitu Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (2).

Berikutan peningkatan jumlah positif dalam Kluster Sentosa, JPBN mengarahkan Hospital Sentosa ditutup kepada orang awam mulai semalam dan ujian rawak mula dilaksanakan sekitar hospital berkenaan, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semalam berkata, langkah itu berikutan semua petugas dikuarantin selepas sebahagian besar dijangkiti Covid-19.

Hari ini, lapan lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak dengan empat di Kuching dan empat lagi di Samarahan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat hari ini sebanyak 649 kes.

HOSPITAL Sentosa di Kuching diarah tutup ekoran peningkatan kes positif Covid-19. FOTO NADIM BOKHARI
HOSPITAL Sentosa di Kuching diarah tutup ekoran peningkatan kes positif Covid-19. FOTO NADIM BOKHARI

Empat daripada kes itu dikesan melalui saringan aktif terhadap semua kontak di dalam Kluster Sentosa membabitkan dua petugas kesihatan di hospital itu, seorang pekerja syarikat swasta di hospital dan seorang lagi ahli keluarga kepada seorang kes positif.

Empat lagi kes dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki tempatan yang baru balik dari Kuala Lumpur, seorang dikesan hasil saringan di tapak pembinaan, seorang lagi melalui pengesanan kontak kepada kes positif manakala seorang lagi hasil pengesanan kontak dari Kluster Syarikat Kejuruteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 8:02 PM