DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


JAWATAN Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuching jika situasi Covid-19 semakin meruncing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagaimanapun berkata, ketika ini belum ada sebarang keputusan dibuat walaupun angka positif wabak itu dalam kalangan kes tempatan di Kuching sahaja, kini mencecah 38 orang.

"Ketika ini Kuching masih berada dalam zon kuning dan kita akan membuat keputusan apabila jumlah positif kalangan kes tempatan mencecah 40 dalam tempoh 14 hari atau kawasan ini menjadi zon merah.

"Tetapi kita berdoa semoga tidak sampai ke tahap itu (zon merah)," katanya ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Kuching, hari ini.

Sebanyak sembilan kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan enam daripadanya dilaporkan di Kuching manakala tiga lagi di Samarahan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak setakat ini meningkat sebanyak 641 kes.

Beliau berkata, daripada sembilan kes hari ini, lapan kes adalah hasil pengesanan kontak dari Kluster Sentosa.

Mereka adalah kakitangan Hospital Sentosa yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 30 hingga 48 tahun.

Sehubungan itu, Uggah berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak akan melaksanakan pemeriksaan secara rawak di semua kawasan berdekatan hospital berkenaan, mulai esok.

Katanya lagi, setakat hari ini, seramai 643 orang disaring dan diambil swab untuk ujian rT-PCR yang membabitkan Kluster Sentosa.

"Daripada jumlah yang disaring itu, seramai 16 orang atau sebanyak 2.49 peratus didapati positif Covid-19.

"Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan sementara semua kontak diberi arahan kuarantin selama 14 hari," katanya.

Katanya lagi, bagi kontak yang membabitkan petugas kesihatan, mereka akan diulang saringan pada hari ketiga dan hari ke-13 sebelum diberi Perintah Pelepasan dan kembali bertugas.

"Bagi kontak bukan petugas kesihatan, mereka akan diulang saringan pada hari ke-13 sebelum diberi Perintah Pelepasan jika keputusan adalah negatif," katanya.

#kw covid-19, PKP, kes baharu, Kuching,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 7:26 PM