GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


SELEPAS mencatat angka sifar jangkitan Covid-19 semalam, jumlah positif pandemik itu tiba-tiba melonjak di Sarawak, hari ini dengan 25 kes.

Daripada jumlah itu, Kuching merekodkan 21 kes, Serian dua kes manakala Samarahan dan Lundu masing-masing satu kes, menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Sarawak kini sebanyak 675 kes.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, saringan kontak kepada kluster masih aktif mencatat jumlah terbesar hari ini dengan 15 kes.

Beliau berkata, empat kes pula membabitkan individu dari luar negara dengan dua daripadanya suami isteri bukan warga negara manakala dua lagi warga tempatan.

"Satu kes dikesan menerusi saringan rawak di pintu masuk antarabangsa, satu kes menerusi saringan rawak petugas kesihatan.

"Peningkatan jumlah kes di Sarawak hari ini disusuli dengan kewujudan kluster baharu iaitu Kluster Pasar Satok yang merekodkan empat kes positif," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Petra jaya, hari ini.

Beliau berkata, kewujudan kluster baharu itu menjadikan keseluruhan kini 10 kluster aktif di Sarawak iaitu sembilan di Kuching dan satu di Bintulu.

Menurutnya, kluster aktif itu ialah Kluster Sentosa dengan 30 kes, Kluster Syarikat Kejuruteraaan (8), Kluster Mambong (6), Kluster Pusat Perubatan (3), Kluster Jupiter (3), Kluster Pasar Stutong (7) Kluster Jeti Kuching (2), Kluster PUI Melbourne (3), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (2) dan Kluster Pasar Satok (4).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 7:27 PM