GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


SATU lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan lapan kluster dilaporkan di negeri berkenaan setakat ini.

Kluster Sentosa membabitkan fasiliti kesihatan merekodkan enam pekerja premis berkenaan positif Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kembali mencecah dua angka apabila 11 kes baharu dilaporkan.

Beliau berkata, tujuh daripada kes yang dilaporkan berlaku di Kuching, dua di Samarahan dan masing-masing satu di Bau dan Lundu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat hari ini meningkat sebanyak 619 kes," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, satu daripada 11 kes yang dilaporkan hari ini adalah kes import membabitkan rakyat tempatan yang baru pulang dari Belanda.

"Dua kes lagi membabitkan kluster tapak binaan iaitu dua pekerja warga Indonesia, dua kes menerusi pengesanan kontak kluster sedia ada iaitu satu Kluster Perubatan dan satu lagi kontak Kluster Pasar Stutong.

"Satu kes dikesan melalui saringan kendiri manakala lima kes hari ini dikesan melalui saringan pengesanan kes positif Covid-19 iaitu membabitkan Kluster Sentosa," katanya.

Katanya lagi, selain Kluster Sentosa, tujuh lagi kluster yang masih aktif iaitu Kluster Tapak Pembinaan (3 kes), Kluster Syarikat Kejuruteraaan (3 kes), Kluster Mambong (5 kes), Kluster Pusat Perubatan (3 kes), Kluster Jupiter (3 kes), Kluster Pasar Stutong (3 kes) dan Kluster Jeti Kuching (2 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:03 PM