Muhaamad Hafis Nawawi


DEMI menghargai jasa guru yang mengajar mereka membuatkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, di Sungai Buloh sanggup ke sekolah dengan memakai baju seragam, hari ini, biarpun sesi persekolahan masih belum bermula.

Inisiatif dilakukan Ketua Pengawas, Nur Nadiatul Husna Iskandar Saifuddin, Penolong Ketua Pengawas, Mohd Adam Danial Azmi dan Ketua Pengawas Perpustakaan Azraa Adeline Azman Mohd Azamanizam itu semata-mata ingin memberi ucapan buat guru tersayang sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Murid tahun enam itu mewakili 2,150 murid SK Pristana turut merekod ucapan mereka sebelum dikongsi di kumpulan WhatsApp, Telegram dan Facebook Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mohd Azamanizam yang juga Yang Di-Pertua PIBG sekolah itu berkata, idea itu dicetuskan anaknya yang ingin mencari kelainan menyambut Hari Guru selepas sesi persekolahan masih belum dibuka kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, dia kemudian memberitahu ibunya sebelum mengajak rakan yang berminat untuk merealisasikan sambutan berkenaan.

"Selepas ada rakan yang bersetuju tengah hari tadi kami ke sekolah dan merakam ucapan hari guru itu secara spontan walaupun guru mereka tiada di sekolah.

"Selepas video itu dikongsi ramai guru sekolah yang mengucapkan terima kasih dengan apa yang dilakukan anak saya dan rakan-rakannya," katanya ketika dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:12 PM
    Nur Nadiatul Husna (kiri), Mohd Adam Danial (tengah) dan Azraa Adeline. FOTO ihsan Mohd Azamanizam Baharon
    Nur Nadiatul Husna (kiri), Mohd Adam Danial (tengah) dan Azraa Adeline. FOTO ihsan Mohd Azamanizam Baharon