Sebahagian daripada 120 orang pengakap kanak-kanak menyertai Perkhemahan V-Camping bertemakan kemerdekaan menunjukkan aktiviti yang dilakukan di kediaman masing-masing. FOTO SK SAUJANA UTAMA
Sebahagian daripada 120 orang pengakap kanak-kanak menyertai Perkhemahan V-Camping bertemakan kemerdekaan menunjukkan aktiviti yang dilakukan di kediaman masing-masing. FOTO SK SAUJANA UTAMA
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Seramai 120 orang pengakap kanak-kanak termasuk empat murid Program Pendidikan Khas sekolah rendah di daerah Kuala Selangor menyertai aktiviti Perkhemahan V-Camping bertemakan kemerdekaan selama dua hari bermula semalam.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Zazaluma Harun berkata, program Perkhemahan Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Daerah Kuala Selangor Kumpulan 40 itu julung kali diadakan hasil perbincangan guru pemimpin pengakap dan cetusan idea ketua pemimpin pengakap sekolah berkenaan, Nazari Ismail.

"Seramai 120 peserta termasuk masing-masing dua murid Program Pendidikan Khas SK Saujana Utama dan dua murid SK Seri Pristana menyertai perkhemahan secara maya itu.

"Selain 70 murid sekolah kami, seramai 50 murid mewakili SK Desa Aman, SK Seri Pristana, SK Puncak Alam, SK Puncak Alam 3, SK Bandar Baru, SK Assam Jawa, SK Bestari Jaya, SK Jeram, SK Parit Mahang dan SK Rantau Panjang juga turut serta.

"Objektif program perkhemahan ini diadakan bertujuan memupuk semangat jati diri dan berdikari dalam kalangan ahli pengakap sebagai ikhtiar hidup," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai program itu katanya, memandangkan aktiviti perkhemahan dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka beberapa kriteria dititikberatkan.

"Antaranya mewujudkan saluran khas sebagai platform utama penghantaran tugasan untuk penilaian dan pemarkahan malah medium 'Telegram V-camping' digunakan sebagai medium perhubungan antara peserta dan jawatankuasa penganjur.

"Selepas setiap aktiviti dijalankan, peserta perlu memuat naik video atau gambar aktiviti ke dalam medium yang diwujudkan mengikut tajuk setiap aktiviti yang ditetapkan oleh penganjur," katanya.

Zazaluma berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan secara maya yang diadakan di kediaman sendiri mengikut kreativiti masing-masing dengan sokongan ibu bapa keluarga murid-murid.

"Antaranya aktiviti memasak, menghias dan menghidangkan makanan, membina gajet dan menghias khemah bertemakan kemerdekaan.

"Aktiviti persembahan malam kebudayaan paling ditunggu oleh setiap ahli pengakap. Selain itu, aktiviti 'Musang Berjanggut' turut disediakan sebagai aktiviti bersama ahli keluarga.

"Pemimpin pengakap dari sekolah-sekolah yang menyertainya juga menjalankan tugasan mereka dengan baik. Dengan mematuhi SOP, mereka melakukan tinjauan dan pemantauan dari rumah ke rumah peserta," katanya.

Beliau berharap aktiviti perkhemahan secara maya yang pertama di Selangor dengan norma baharu dari SK Saujana Utama itu menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah lain.

"Insya-Allah, selepas ini mungkin kami akan merancang untuk mengadakan perkhemahan dalam skala lebih besar bersama unit beruniform lain di sekolah-sekolah ini sekiranya pembelajaran secara bersemuka belum bermula," katanya.

Menurutnya, majlis perasmian berlangsung secara maya melalui TV PSS D' Saujana oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah dari Unit Pembangunan Bakat Murid Fathudin Mohd Aladin yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 5:25 PM