AHMAD Faizal  ditemu ramah wartawan selepas hadir pada sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya, semalam.
AHMAD Faizal ditemu ramah wartawan selepas hadir pada sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya, semalam.
Yusmizal Dolah Aling dan Amir Mamat

KETIKA Melaka dijangka menerima Ketua Menteri baharu Jumaat ini, senario politik di Perak dan Kedah juga dilihat menjurus kepada ‘perubahan angin’ selaras perubahan kepemimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Sumber memberitahu, Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Kerahsiaan akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, di sini.

Apa yang pasti, jawatan nombor satu negeri itu bakal diserah kepada wakil Umno yang mendominasi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Barisan Nasional (BN) Melaka, semalam mengumumkan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Bersatu, selain penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan PN.

BN negeri yang memiliki 13 Adun, diperkukuhkan lagi dengan penyertaan dua Adun Bersatu, Mohd Rafiq, Paya Rumput dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan sokongan kepada PN berjumlah 17 daripada 28 Adun di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali, 55, antara nama yang bakal dilantik ke jawatan ketua menteri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri itu, dianggap antara wakil rakyat bersih daripada kontroversi, merendah diri selain berpengalaman luas dalam pentadbiran serta politik.

Sementara itu, di Kedah, Pas akan membentuk kerajaan baharu bersama PN selepas beberapa Adun Pakatan Harapan (PH) dijangka ‘menyeberang’ untuk bersama dalam kerajaan negeri.

Ketika ini, parti itu memiliki kerusi tertinggi dalam komposisi DUN Kedah dengan 15 kerusi, diikuti PKR (tujuh), Bersatu (enam), Parti Amanah Negara (empat) dan masing-masing dua kerusi bagi DAP dan BN.

Sumber berkata, Pas mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan baharu.

“Perkembangan terbaharu menunjukkan ada Adun PH berminat bersama-sama (membentuk kerajaan negeri). Mereka menyatakan sokongan. Jadi, mungkin kerajaan negeri berubah di Kedah,” katanya tanpa mendedahkan sama ada wakil rakyat berkenaan akan lompat parti atau mesra PN.

Kelmarin, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengakui, pihaknya mengambil sikap ‘’tunggu dan lihat’ perkembangan pembentukan Kerajaan Pusat yang turut mempengaruhi kedudukan di negeri itu.

Katanya, Pas sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan namun apa yang penting ketika ini keadaan tenang dan harmoni di negeri itu perlu dikekalkan.

Manakala, di Perak, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, tengah hari semalam di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Pertemuan itu dilihat isyarat kemungkinan pembentukan kerajaan negeri baharu ditadbir PN.

Ahmad Faizal mengakui pertemuan hanya membabitkan beliau saja.

“Ya, saya dipanggil menghadap sekarang. Saya seorang (dipanggil),” katanya semasa ditemui media selepas pelancaran Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak oleh Sultan Muizuddin Shah di Laman Budaya, di sini.

ADLY (kiri) mengadakan sidang media di Bukit Katil, semalam.
ADLY (kiri) mengadakan sidang media di Bukit Katil, semalam.

Ditanya berkaitan calon Menteri Besar yang akan dikemukakan, ini jawapan beliau: “Saya akan jumpa semua (wartawan), maaf.”

Sebelum ini, Ahmad Faizal dilaporkan bertemu Adun Umno Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri.

Kedua-duanya dikatakan bersetuju menubuhkan kerajaan Perak yang baharu melalui pakatan Umno, Pas dan Bersatu dan ketiga-tiga nama calon MB Perak akan dibawa ke Istana Perak.

Warisan disaran kekal sebagai pembangkang

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (Warisan) seharusnya kekal sebagai pembangkang bagi mengekalkan keseimbangan yang berkesan terhadap Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain dalam satu kenyataan dimuat naik dalam laman media sosial Facebook beliau menyatakan pembangkang juga mempunyai peranannya tersendiri untuk rakyat.

“Gabungan Warisan-PH-Upko boleh menjadi pembangkang yang baik sebagai penyemak dan pengimbang kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekarang. Pembangkang juga ada peranan besar kepada rakyat tambahan pula gabungan tersebut masih kerajaan negeri.

“Jika Warisan memilih menyokong Kerajaan Persekutuan itu lebih baik agar rakyat Sabah mendapat manfaatnya. Sebaliknya jika Warisan memilih untuk menyertai Perikatan, pemimpin Perikatan perlu menolak sepenuhnya.

“Ini kerana ketika ini Warisan bersama-sama Upko dan PH masih berhajat menyokong Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri apabila Dewan Rakyat bersidang kelak.

“Sebaiknya Warisan-PH-Upko perlu membatalkan niat tersebut kerana ia kerja yang sia-sia. Kemelut politik negara dihentikan dengan serta merta,” katanya.

Dalam kenyataan itu beliau turut berkata parti komponen yang menjadi sebahagian Perikatan Nasional mempunyai pendekatan politik yang berbeza dengan Warisan.

“Polisi kerajaan Warisan bertentangan dengan doktrin bermasyarakat di Sabah apabila berlakunya Sempornasisasi, rancangan pemberian Pas Sementara Sabah dan laungan ‘Sabah Kita Punya cukup membimbangkan masyarakat Sabah,” katanya.

Terdahulu, Warisan menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya adanya perubahan kerajaan di Sabah akibat daripada impak perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua dalam satu kenyataan menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga Ahli Parlimen Warisan sentiasa berpegang kepada prinsip serta berintegriti tinggi dan setia pada perjuangan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 6:35 AM