Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak terjejas susulan pengumuman Umno yang mahu mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu dianggap urusan dalaman Umno dan sewajarnya parti itu yang menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan juga dilihat masih tergantung kerana tidak dinyatakan tindakan lanjut yang bakal diambil parti itu.

"Kerajaan negeri tidak terjejas, Umno Kedah masih baik dan tiada masalah. Mungkin ada keputusan peringkat parti yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno perlu patuh, tetapi setakat ini kenyataan itu tiada kesan.

"Ini urusan dalaman Umno, biar Umno selesaikan. Kenyataan juga masih tergantung, apa tindakan selanjutnya tidak dinyatakan. Jadi kita serah pada Umno," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Malam tadi, Biro Politik Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan meletak syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

Ini termasuk mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Mengulas mengenai pertemuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong semalam, Muhammad Sanusi berkata, beliau percaya Anwar tidak mempunyai sokongan cukup bagi dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Saya memang tidak setuju dan dari awal menjangka Anwar tidak akan jadi Perdana Menteri selepas ramai Ahli Parlimen Umno dan Pas membuat laporan polis mengaku tidak bersama beliau.

"Orang politik sepatutnya tidak ambil tindakan mencemarkan bidang ini. Politik adalah bidang mulia yang menguruskan kebaikan dan menyelesaikan kemaslahatan rakyat, malah nabi dan Rasulullah juga menjadi pemimpin politik," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap orang politik tidak membuat percaturan yang boleh merendahkan diri sendiri.

Berita berkaitan:

  • Umno timbang tarik diri sokong PN
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 5:16 PM