Gunung Kinabalu mercu tanda negeri Sabah.
Gunung Kinabalu mercu tanda negeri Sabah.
Rafiqah Dahali


PERTUKARAN kerajaan negeri Kedah tidak mustahil boleh berlaku di Sabah mengambil kira situasi politik semasa negeri bawah bayu itu.

Pensyarah Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, desas-desus kerajaan negeri Sabah bakal bertukar sebenarnya sudah lama iaitu sejak kes perbicaraan siapakah Ketua Menteri yang sah lagi.

Katanya, bagi yang berpegang teguh Ketua Menteri Sabah dilantik berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, maka sebarang pertimbangan mahkamah harus bersandarkan kepada kedaulatan undang-undang mempunyai pemahaman dan pendirian mereka.

"Jadi semua ini boleh kekal sebagai suatu desas-desus atau mungkin ada asasnya juga tambahan pula dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, senarionya sudah berubah.

"Kita perlu sedar dan terima hakikat kejatuhan PH adalah disebabkan oleh masalah dalaman mereka disusuli dengan pertukaran kerajaan beberapa negeri di Semenanjung.

"Sama ada berpotensi atau tidak semuanya pasti ada. Soalnya siapa yang akan mengetuai dan memulakan langkah itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut berkata, segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lompat parti adalah supaya kawasan mereka tidak ketinggalan terutama dalam aspek pembangunan.

"Kerajaan negeri Sabah pada ketika ini adalah kerajaan pembangkang. Sebahagian daripada ADUN yang lompat menyertai WARISAN-PH untuk membentuk kerajaan baharu didorong oleh faktor itu supaya DUN mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan.

"Memandangkan tiba-tiba mereka pula yang sudah bertukar menjadi pembangkang, pasti ada segelintir daripada mereka ingin mempertimbangkan semula kedudukan masing-masing," katanya.

Beliau turut mengulas khabar angin akan ada ADUN berpaling tadah juga berkemungkinan berpotensi menjadi faktor menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.

"Walaupun tidak semestinya didorong oleh hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, boleh jadi ada tawaran yang lebih menarik ataupun berbalik kepada sebab sebahagian daripada mereka bertukar arah untuk menyokong beliau sejurus selepas 9 Mei 2018 itu.

"Boleh jadi juga atas alasan sama mereka berubah sebab mereka terikat dengan tanggungjawab menjaga rakyat di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Lee turut mengulas mengenai laporan media semalam oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat dua lagi negeri dijangka bakal bertukar kerajaan seperti yang berlaku di Kedah.

"Jika apa yang Tan Sri Annuar Musa perkatakan itu adalah konkrit pastinya Sabah salah satu daripada dua negeri yang dimaksudkan. Tidak mungkin Sabah berada di belakang Selangor.

"Ia akan menjadi usaha sama parti di bawah komponen PN yang baru menandatangani persefahaman baharu semalam dan ia bukannya bersifat solo semata-mata," katanya.

Lee menyifatkan situasi politik di Sabah agak unik di mana cara negeri ini bertukar kerajaan akan mempunyai implikasi yang besar di kemudian hari.

"Sekiranya Tan Sri Musa Aman dalam kes rayuannya diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan Warisan-PH-UPKO sepanjang tempoh dua tahun ini menjadi pertikaian. ADUN lantikan oleh kerajaan WARISAN-PH-UPKO juga kemungkinan besar jadi tidak sah.

"Sementara itu, jika kerajaan Sabah bertukar dengan cara adanya ADUN yang beralih sokongan terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, segala keputusan kerajaan negeri yang dibuat oleh gabungan WARISAN-PH-UPKO akan kekal.

"Sebelum ini WARISAN juga mengulangi pendirian mereka memihak kepada Tun Dr Mahathir sekali lagi baru-baru ini menerusi surat presiden parti itu kepada Parlimen yang tular itu.

"Sekiranya WARISAN ingin menyertai PN sebagai sebuah parti boleh dikatakan terlewat pada ketika ini kerana ada jawatan kabinet pun semuanya sudah dibahagi.

"Jadi menyertai PN sebagai sebuah parti nampak tipis tetapi tidak mustahil akan ada ADUN daripada WARISAN-PH-UPKO yang menyertai PN," katanya.

#kw politik, tukar, kerajaan, Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:47 PM