DUFFY akhirnya menceritakan peristiwa hitam yang menyebabkan dia menyepi daripada industri hiburan. - FOTO Agensi
DUFFY akhirnya menceritakan peristiwa hitam yang menyebabkan dia menyepi daripada industri hiburan. - FOTO Agensi
Agensi

SELEPAS sekian lama menyepikan diri, penyanyi dari Wales, Duffy membuat pengakuan berani yang dirinya pernah diberikan dadah, dirogol dan dikurung untuk beberapa hari.

Mirror Online melaporkan penyanyi berusia 35 tahun yang terkenal dengan lagu Mercy itu membuat pendedahan itu menerusi laman Instagram miliknya, kelmarin.

Pendedahan itu mendapat banyak maklum balas daripada peminatnya yang turut bersedih dan memberi kata semangat untuk penyanyi berkenaan meneruskan hidup.

Menurut Duffy, apa yang berlaku menyebabkannya trauma hingga mengambil masa beberapa tahun untuk melupakan peristiwa hitam itu.

“Bayangkan berapa banyak kali saya berfikir sebelum menulis mengenai perkara ini. Bagaimana untuk meluahkan dan apa perasaan saya?

“Saya sendiri tidak pasti adakah ini masa yang tepat untuk ceritakan apa yang berlaku, ke mana dan mengapa saya menghilang.

“Wartawan ada menghubungi saya dan saya sudah ceritakan mereka apa yang berlaku serta berasa lega kerana akhirnya dapat bersuara,” tulisnya.

Tambah Duffy, muzik yang membantunya bangkit daripada terus mengenangkan nasib buruk yang menimpa dirinya.

“Proses penyembuhan ini tidak mudah kerana mengambil masa dan pasti ramai yang tertanya mengapa saya tidak menceritakan perkara ini dari awal lagi.

“Saya tidak mahu menunjukkan kesedihan di mata saya untuk tatapan dunia. Malah, saya bertanya dalam diri, bagaimana mahu menyanyi semula sedangkan hati saya retak dan menunggu masa untuk hancur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:00 AM