BOYZONE ucap selamat tinggal pada konsert Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour.
BOYZONE ucap selamat tinggal pada konsert Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour.
Georgie Joseph


KUMPULAN Boyzone dari Ireland mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya untuk dunia muzik pada konsert Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour, hari ini.

Kumpulan yang dianggotai Ronan Keating, 40, Shane Lynch, 41, Keith Duffy, 42, dan Mikey Graham, 45, itu menghadiahkan persembahan terakhir di hadapan lebih 5,000 penonton hadir di Stadium Malawati.

Ketuanya, Ronan berkata, tiada kesalan apabila memutuskan untuk membubarkan Boyzone kerana sudah puas mengecapi perkara indah.

“Tiada apa yang perlu dikesalkan. Kami sudah menerima lebih daripada cukup sepanjang 26 tahun ini.

“Kami masih akan bersahabat baik dan meluangkan masa bersama-sama jika ada kelapangan. Sebahagian daripada kami pun masih terbabit dalam bidang muzik.

“Apapun, kami pasti terkesan dan merindui peminat seluruh dunia. Hubungan istimewa yang kami bina bersama peminat sangat kami hargai sampai bila-bila. Terima kasih,” katanya.

Dalam konsert berdurasi hampir dua jam itu, Boyzone mempersembahkan 22 lagu termasuk Baby Can I Hold You, Everyday I Love You, Words, Nothing At All, Love Me For A Reason, No Matter What, Rollercoaster dan Picture of You.

Tahun lalu, Boyzone mengadakan persembahan di Kuala Lumpur buat julung kali bagi meraikan ulang tahun ke-25 mereka. Mereka turut mengumumkan penghasilan album baharu yang juga menjadi album terakhir mereka berjudul Thank You & Goodnight.

Dream dipilih sebagai single promosi album itu yang turut memuatkan suara bekas anggotanya, Stephen Gately. Vokalis terbabit yang meninggal pada 10 Oktober 2009 pernah merakamkan versi solo lagu itu yang diterbitkan pada 2001.

Terdahulu, tiket konsert anjuran Wowstar Creative Entertainment itu laris apabila sudah dijual lebih 80 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:50 PM