DUFFY (kiri) mengekang pemain City, David Silva pada aksi liga di Etihad awal musim ini. — FOTO Agensi
DUFFY (kiri) mengekang pemain City, David Silva pada aksi liga di Etihad awal musim ini. — FOTO Agensi
Agensi

SHANE Duffy menolak permintaan penyokong Everton supaya “memberi laluan kepada Manchester City” malam esok sebaliknya menegaskan Brighton akan mengulangi aksi terbaik mereka ketika menentang City pada separuh akhir Piala FA.

Pertahanan Brighton itu lulusan akademi remaja di Everton dan menganggap dirinya sebagai peminat namun sedar dia mampu secara efektif memainkan peranan bagi kejayaan Liverpool memenangi kejuaraan liga kali pertama sejak 1990 dengan mengekang City.

Brighton melepaskan gol awal pada separuh akhir Piala FA di Wembley bulan lalu namun mereka berjaya menyukarkan lawan selepas itu.

Kini bebas daripada kebimbangan mengenai status mereka di liga utama, mereka boleh bercita-cita besar dengan pendekatan berdepan anak buah Pep Guardiola di Stadium Amex, malam esok, hari terakhir saingan Liga Perdana Inggeris.

“Apabila anda bermain menentang mereka, ia mengenai bagaimana menangani tekanan bertali arus, mereka hadir dari segenap penjuru dan ia satu perlawanan sukar,” kata Duffy, pemain terbaik tahunan kelab itu musim ini.

“Semua pemain teruja untuk menjejaskan parti mereka. Saya mempunyai beberapa penyokong Everton yang menghantar mesej, memberitahu saya untuk membiarkan mereka menang tapi saya seorang profesional. Saya tidak berada di Everton lagi. Saya kini di Brighton dan ini kelab saya sekarang.

“City mempunyai pemain bertaraf dunia yang biasa menangani tekanan dan jelas jika ada sesiapa yang menawarkan mereka peluang mengalahkan Brighton untuk memenangi liga pada awal musim, pasti mereka mengambilnya. Tapi kami mahu mengalahkan satu daripada pasukan terbaik di dunia dan membanggakan kelab ini.

“Kami bertindak baik menentang mereka pada separuh akhir, malah pada perlawanan pertama Liga Perdana [City menang 2-0 di Amex pada Ogos 2017] kami berasa kami berjaya mengekang mereka.

“Jika kami boleh bermain seperti babak kedua di Wembley, anda tidak tahu apa boleh berlaku. Kami perlu bertahan dengan bagus sekali lagi dan melakukan serangan balas pantas,” ujar Duffy.

Brighton, kaptennya Bruno akan melakukan penampilan terakhir kompetitif malam esok selepas mengumumkan persaraan pada usia 38 tahun, tidak menang aksi liga sejak pertengahan Mac lalu namun mereka lebih meningkat ketika seri di Arsenal, Ahad lalu sebaik kebimbangan mengenai tersingkir mengendur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 11:27 AM