ANTARA perkakasan judi atas talian yang dirampas polis sejak tahun lalu untuk dilupus.
ANTARA perkakasan judi atas talian yang dirampas polis sejak tahun lalu untuk dilupus.
Muhaamad Hafis Nawawi


KETAGIHAN judi dalam talian kerana mahu menjadi jutawan segera menyebabkan ramai dalam kalangan penjawat awam sanggup berhabis RM500 hingga RM1,000 sehari atau semalam.

Kegilaan terhadap judi ini menyebabkan mereka kini menjadi buruan along kerana tidak mampu membuat bayaran balik ke atas pinjaman yang sudah dibuat.

Bagi pihak sindiket judi pula kepesatan teknologi maklumat dimanfaat mereka untuk menghasilkan pelbagai aplikasi judi dalam talian yang disesuaikan dengan kehendak kaki judi tempatan.

Jika dulu perlu sewa ruang bangunan kedai untuk beroperasi, tetapi kini sindiket boleh beroperasi dari kedai kopi atau di mana-mana tanpa perlu bertemu kaki judi.

Semua urusan dijalankan melalui telefon bimbit dan bayaran pertaruhan boleh dibuat ke atas akaun sindiket dengan menggunakan mesin ATM.

Sekiranya kaki judi menang, mereka boleh bertemu ahli sindiket judi terbabit untuk memperoleh wang kemenangan secara tunai.

Biasanya, ahli sindiket akan berkeliaran di sesuatu kawasan tumpuan ramai untuk memancing kaki judi dengan menawarkan kemenangan berlipat ganda.

Tawaran dibuat secara rambang ke atas mana-mana nombor telefon bimbit yang diperoleh sindiket.

Ada sindiket menyediakan premis kepada kaki judi untuk berjudi, tetapi kini kegiatan menggunakan premis ini agak terbatas disebabkan serbuan polis yang berterusan.

Difahamkan, satu sindiket judi dalam talian mampu mengaut keuntungan luar biasa antara RM50,000 hingga RM100,000 semalam dan mencecah jutaan ringgit sebulan.

Harian Metro difahamkan terdapat ratusan aplikasi judi atas talian disediakan sindiket untuk memerangkap mangsa terutama dalam kalangan penjawat awam.

Sumber berkata, sindiket judi dalam talian mampu meraih pulangan jutaan ringgit dalam masa sebulan kerana ketamakan kaki judi yang tidak serik bertaruh.

“Selain warga tempatan sindiket turut menyasarkan warga asing untuk berjudi.

“Mereka ini datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan seperti pekerja biasa, kilang, berniaga kecil-kecilan dan penjawat awam kategori pertengahan,” katanya.

Katanya, walaupun berpendapatan tidak seberapa, kaki judi sanggup bertaruh kononnya bertujuan menggandakan wang mereka.

“Alasan diberikan apabila ditahan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) selalunya kerana mereka ingin cepat kaya.

“Tanpa mereka sedar sebenarnya mereka diperdaya atau ditipu sindiket terbabit tanpa sedar kerana mana mungkin ada perniagaan yang dijalankan ingin rugi, sudah tentu pemiliknya inginkan keuntungan,” katanya.

Katanya, terdapat kebimbangan penjawat awam sanggup meminjam along untuk meneruskan kegilaannya berjudi.

Dalam perkembangan sama, sumber berkata, sindiket perjudian dalam talian akan dimonopoli tiga tauke besar bergantung kepada negeri terbabit.

“Biasanya tauke perjudian dalam talian akan lebih ramai di negeri yang maju. Contoh di ibu kota, ada tiga tauke besar mengawal perjudian dalam talian.

“Sasaran mereka bukan sahaja penjawat awam sebaliknya pekerja warga asing juga ditarik untuk berjudi dengan sindiket,” katanya.

Sementara itu, kaki judi yang ditahan D7 Kontinjen Selangor dalam serbuan di premis perjudian di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini turut mengakui dia tidak pernah menang dalam pertaruhan itu.

“Mana ada menang asyik kalah saja sebab itu saya terus bertaruh dan berharap ada luck (tuah).

“Dalam sejam, saya dah bertaruh RM100 namun belum menang lagi. Pernah satu malam saya habis RM500 hingga RM1,000 terutama selepas menerima gaji,” katanya yang enggan dikenali.

Dia antara 18 pemain judi atas talian dan tiga pekerja berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam satu serbuan itu, baru-baru ini.

WARGA China  ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian, tahun lalu.
WARGA China ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian, tahun lalu.

Rumah kongsi sasaran sindiket judi

RUMAH kongsi warga asing termasuk Indonesia dan Myanmar turut menjadi sasaran sindiket perjudian dalam talian yang mengambil kesempatan membuka operasi mereka berhampiran lokasi itu demi meraih keuntungan.

Tambahan kawasan rumah kongsi itu yang tersembunyi dan sunyi memudahkan sindiket ini membuka premis perjudian untuk dikunjungi kaki judi dalam kalangan warga asing dan orang tempatan.

Malah, kerana ketagih untuk berjudi, sindiket terbabit tidak perlu bersusah untuk membuat sebarang iklan mengenai kewujudan premis terbabit sebaliknya bagai ada tarikan apabila ia tetap dipenuhi pelanggan yang ingin membuat pertaruhan.

Lebih malang wang gaji mereka kebanyakan habis digunakan untuk berjudi di premis walaupun tipis untuk memenangi pertaruhan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, judi dalam talian ini kebiasaannya akan mensasarkan pelanggan warga asing untuk bertaruh.

Menurutnya, demi mengelak mereka ditahan, sindiket ini yang kebanyakan didalangi orang tempatan akan mengupah pekerja warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dengan bayaran tertentu supaya dapat menyekat maklumat berhubung kegiatan mereka oleh polis.

“Usaha polis yang berterusan membanteras kegiatan perjudian ini menyebabkan sindiket kini sukar beroperasi sehingga mereka terpaksa mengubah taktik termasuk menyediakan komputer riba, tablet dan telefon bimbit sebagai alat untuk berjudi dalam talian tanpa memerlukan mesin simulator.

“Sasaran mereka sudah tentu warga asing dan ada juga warga tempatan yang datang ke premis terbabit untuk bertaruh,” katanya.

Huzir berkata, sindiket ini juga lebih berhati-hati kerana mereka tidak akan berada di premis terbabit namun memantau dari jauh.

“Selepas sejam beroperasi dan wang tunai diperoleh sekitar RM500, pekerja terdiri warga asing ini akan diarahkan untuk menyerahkan wang itu kepada mereka kerana bimbang kerugian jika diserbu pihak berkuasa.

“Keuntungan sindiket ini terpulang kepada kawasan perniagaan dan sambutan diterima dan jika kurang mendapat pelanggan, mereka akan berpindah ke lokasi lain dalam masa sama mengelak ditahan,” katanya.

“Selain itu, maklumat lebih lanjut mengenai sindiket terbabit akan terputus kerana pekerja warga asing yang ditahan itu tidak mengenali ahli sindiket,” katanya.

Ubah cara operasi elak ditahan polis

USAHA berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan perjudian menyebabkan sindiket perjudian dalam talian sukar menjalankan operasi mereka sehingga terpaksa mengubah modus operandi bagi mengelak ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis komited dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian dan banyak serbuan serta tangkapan dilakukan sepanjang 2019.

Menurutnya, sebanyak 3,813 serbuan berjaya dilakukan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 11 Disember 2019 di mana seramai 6,932 orang ditahan kerana terbabit judi dalam talian.

“Dalam serbuan itu juga kita merampas wang tunai sebanyak RM1,360,745 juta dan sebanyak 12,998 terdiri komputer, tablet serta telefon bimbit dirampas sepanjang tempoh itu.

“Kontinjen Selangor mencatatkan serbuan tertinggi iaitu 1,108 dengan tangkapan orang 2,434 bersama wang tunai RM276,582 dan 243 rampasan komputer, tablet serta telefon bimbit,” katanya.

Huzir berkata, Sarawak juga antara yang terbanyak diadakan serbuan iaitu 704 dengan 886 tangkapan membabitkan rampasan wang tunai RM157,983 manakala rampasan komputer, tablet serta telefon bimbit membabitkan 960 buah.

“Polis akan terus membanteras kegiatan ini dan menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 10:00 AM