PASUKAN polis merampas barang yang digunakan untuk operasi judi dalam talian.
PASUKAN polis merampas barang yang digunakan untuk operasi judi dalam talian.
Muhaamad Hafis Nawawi


PETALING JAYA: Akibat panik melihat kehadiran polis menyebabkan ada ahli sindiket judi dalam talian warga China cuba melarikan diri termasuk bersembunyi di dalam tandas sebuah banglo di Kelana Jaya di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari oleh tujuh pegawai dan 15 anggota pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, seramai 15 warga China terdiri 12 lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil siasatan mendapati mereka masuk ke negara ini pada Oktober tahun lalu dan menjadikan kediaman itu sebagai pusat panggilan judi dalam talian sejak Disember lalu.Menurutnya, sindiket terbabit mampu mengaut keuntungan antara RM150,000 hingga RM200,000 sehari dengan menyasarkan mangsa di Beijing, China dan Kanada.

SEBUAH banglo yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa yang diserbu polis di Kelana Jaya.
SEBUAH banglo yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa yang diserbu polis di Kelana Jaya.

"Pada sebelah pagi mereka akan menyasarkan kaki judi di Kanada, manakala sebelah petang pula di negara mereka sendiri."Sewaktu serbuan, ada antara ahli sindiket yang ingin melarikan diri dengan cuba terjun, namun gagal selepas ditahan polis," katanya pada sidang media selepas serbuan itu, semalam.Nik Ezanee berkata, sindiket judi dalam talian sebelum ini berhenti seketika ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum beroperasi semula, baru-baru ini.

NIK Ezanee (kiri) melihat keadaan  kediaman yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa di Kelana Jaya.
NIK Ezanee (kiri) melihat keadaan kediaman yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa di Kelana Jaya.

"Setiap ahli sindiket terbabit dipercayai menerima gaji sekitar RM5,000 sebulan dan ketika serbuan didapati barangan keperluan untuk memasak juga baru dibeli."Kita turut merampas 11 komputer dan 57 telefon bimbit yang digunakan sindiket terbabit," katanya.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

NIK Ezanee  melihat sebahagian ahli sindiket yang berjaya ditahan.
NIK Ezanee melihat sebahagian ahli sindiket yang berjaya ditahan.

Lapor aktiviti judi dalam talian

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu melaporkan sebarang aktiviti perjudian secara dalam talian kepada pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun banyak kes yang membabitkan judi diambil tindakan oleh polis.

"Cuma kita minta supaya orang ramai membantu polis di dalam mengambil tindakan ini," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, semalam.

Beliau mengulas mengenai perjudian atas talian dan nombor ekor haram yang didalangi warga tempatan dan China dilihat semakin bermaharajalela dan dikatakan mengaut laba jutaan ringgit setiap hari.

Kegiatan itu yang memiliki rangkaian antarabangsa dan organisasi tersusun dilihat memperhebatkan promosi melalui laman sosial untuk menarik kaki judi tempatan.

Malah, penutupan premis judi dan nombor ekor berlesen disebabkan penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka menguasai pasaran tempatan hingga dilapor mampu mengaut lebih RM100 juta dalam tempoh dua bulan sejak Mac lalu tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan.

Ismail Sabri berkata, orang ramai perlu melaporkan segera kepada polis sekiranya mengetahui mengenai kegiatan itu.

Beliau yakin polis akan mengambil tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:50 AM