MOHD Taufik  melihat keadaan pelajarnya yang terpaksa menggunakan masjid tempat beribadat dan menghafaz al-Quran sebagai asrama penginapan berikutan masalah kewangan.
MOHD Taufik melihat keadaan pelajarnya yang terpaksa menggunakan masjid tempat beribadat dan menghafaz al-Quran sebagai asrama penginapan berikutan masalah kewangan.
Siti Rohana Idris


MASJID di Maahad Tahfiz Darul Fiqhi, Lubok Jong di sini, bukan sahaja tempat beribadat dan menghafaz al-Quran, malah turut dijadikan asrama pelajar berikutan berdepan kekangan dana.

Dalam keadaan sesak dan tidak selesa, 38 pelajar yang berusia lapan hingga 17 tahun sudah lali dengan keadaan itu.

Timbalan Mudirnya, Mohd Taufik Mustapha berkata, di awal penubuhan maahad tahfiz itu pada 2012, hanya ada enam pelajar dengan dua rumah dijadikan sebagai kediaman.

MASJID di Maahad Tahfiz Darul Fiqhi menempatkan 38 pelajar tahfiz.
MASJID di Maahad Tahfiz Darul Fiqhi menempatkan 38 pelajar tahfiz.

Katanya, bagaimanapun pertambahan jumlah pelajar menyebabkan pihaknya terpaksa memindahkan mereka ke masjid.

“Ruangan masjid dibahagikan kepada dua iaitu ruang solat atau menjalankan aktiviti keagamaan dan satu lagi tempat tidur pelajar yang menempatkan sejumlah katil bertingkat.

“Memandangkan ruangnya sempit, pelajar tidak selesa kerana panas dan sesak sehingga ada yang tidur di ruang solat pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pada masa kini pihaknya tidak bercadang untuk menambah jumlah pelajar meskipun banyak permohonan diperoleh kerana tidak mampu menyediakan asrama.

“Maahad tahfiz ini baru membuat permohonan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan kami tiada peruntukan untuk membina kemudahan asrama.

“Yuran yang dikenakan kepada pelajar sebanyak RM205 sebulan hanya cukup untuk menampung kos makan minum, penginapan dan bayaran gaji kepada lima tenaga pengajar,” katanya.

Seorang pelajar, Abdul Basit Syubri, 17, berkata dia sudah empat tahun berada di maahad tahfiz berkenaan dan menetap di sana bersama adiknya, Ahmad Awab, 11.

“Biarpun terpaksa bersesak di dalam masjid, ia sama sekali tidak melunturkan semangat untuk turut menuntut ilmu di sini.

“Kami cuma perlu lebih mementingkan kebersihan dengan secara bergilir-gilir membersihkan tandas, masjid serta kawasan sekeliling yang dilakukan tiga kali seminggu,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan untuk pembinaan asrama boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam milik Maahad Tahfiz Darul Fiqhi iaitu 03027010044743.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 6:40 AM