Siti A’isyah Sukaimi

Dengkil: Solat Zuhur berjemaah di masjid menyelamatkan 17 pelajar Madrasah Tahfiz Al Ridzuan, Kampung Dato’ Ahmad Razali, di sini daripada menjadi mangsa susulan kebakaran balai raya yang dijadikan asrama sementara mereka kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Balai raya itu dijadikan asrama sementara selepas kejadian kebakaran pada 19 Januari 2016 membabitkan bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama serta dewan makan untuk pelajar madrasah berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, pelajar bersama penduduk menunaikan solat Zuhur di Masjid As-Syarif terletak di dalam kawasan sama dengan balai raya serta bangunan asrama yang dalam pembinaan.

PELAJAR  Madrasah Tahfiz Al Ridzuan melihat anggota bomba memadamkan kebakaran, semalam.
PELAJAR Madrasah Tahfiz Al Ridzuan melihat anggota bomba memadamkan kebakaran, semalam.

Ketua Kampung Dengkil, Mahmud Bunyamin berkata, dia melihat kebakaran kira-kira 10 minit selepas azan Zuhur di masjid berkenaan.

“Ketika itu saya baru masuk ke dalam masjid dan jemaah menunaikan rakaat pertama. Kemudian, saya terdengar ada kanak-kanak memaklumkan bapanya yang solat, ‘ayah ada api’.

“Saya kemudian berpaling ke luar dan melihat asap keluar dari tingkap balai raya berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mahmud berkata, dia kemudian tidak jadi menunaikan solat berjemaah, sebaliknya pulang ke rumah untuk menghubungi bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 5:41 AM