PELAJAR  Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Ainus Syukriyah membersihkan kelengkapan   selepas banjir surut.
PELAJAR Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Ainus Syukriyah membersihkan kelengkapan selepas banjir surut.
Hassan Omar


ALOR GAJAH: Seramai 90 pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Ainus Syukriyah di Kampung Panchor, Durian Tunggal terjejas akibat banjir, Ahad lalu.

Air yang naik secara mendadak pada jam 4.40 pagi itu menyebabkan Pengetuanya, Mohd Sofian Ahmad Shukri dan 10 guru serta pelajar terbabit hanya sempat menyelamatkan al-Quran dan kitab rujukan.

Mohd Sofian berkata, beliau dan guru serta pelajar bersiap-siap untuk memulakan qiamullail pada jam 4 pagi tetapi hujan lebat mulai 2 pagi menyebabkan air dari parit berhampiran melimpah.

“Saya segera mengarahkan pelajar menyelamatkan al-Quran dan kitab pengajian serta berkumpul di tempat selamat meninggalkan peralatan lain di dalam asrama dan bilik kuliah.

“Nyawa pelajar lebih penting dan dalam tempoh tidak sampai sejam, air naik 1.5 meter menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan kelengkapan dan peralatan lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pelajar dan tenaga pengajar bertungkus-lumus membersihkan kelas dan kawasan persekitaran selepas air surut mulai tengah malam kelmarin.

Mereka turut membantu 20 pelajar dari Pusat Tahfiz al-Quran Al-Qamar di Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah dan 10 pelajar dari Pusat Tahfiz As-Solihin, Merlimau.

Mengulas lanjut, Mohd Sofian berkata, sejak pusat tahfiz itu beroperasi tiga tahun lalu, ia sudah lebih enam kali ditenggelami banjir menyebabkan pelbagai kerosakan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Mohd Sofian di talian 019-6505159 atau melalui akaun Maybank maahad tahfiz berkenaan di nombor 554044515118.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:31 AM