Noor Ellina memberi maklum balas terhadap ciapan Hafidzah yang tular di Twitter. FOTO Twitter
Noor Ellina memberi maklum balas terhadap ciapan Hafidzah yang tular di Twitter. FOTO Twitter
Redzuan Muharam


“SUDAH lama saya cuba menjejaki mereka (adik-beradik kandung) dan tidak sangka pencarian sejak empat tahun lalu berakhir di Twitter,” kata Nur Hafidzah Rusdi, 22.

Nur Hafidzah mencuri perhatian warganet selepas usahanya menjejaki tiga adik-beradik kandung yang terpisah sejak 14 tahun lalu berakhir hanya selepas 11 jam dia memuat naik ciapan berserta gambarnya sekeluarga ketika kecil di Twitter.

Bercerita lanjut, Nur Hafidzah berkata, dia terpisah dengan adik-beradik kandungnya selepas diserahkan kepada keluarga angkat sejak bayi lagi.

Namun, katanya, keluarga angkat dan kandungnya masih berhubung dengan berbalas surat sebelum terputus hubungan selepas masing-masing kerana berpindah dari penempatan asal.

“Kali terakhir kami bertemu adalah ketika saya berusia lapan tahun dan selepas itu, kami terpisah memandangkan saya dibesarkan keluarga angkat di Singapura, manakala adik-beradik lain di Temerloh, Pahang.

“Bukan tidak mahu mencari sejak dulu tetapi saya hanya tahu status sebagai anak angkat ketika berusia 18 tahun.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk menjejaki mereka di laman sosial berbekalkan maklumat diberi oleh ibu angkat saya (Nor Afidah, 51), selain menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tidak berjaya.

“Lagipun saya menetap di Jurong, Singapura dan tiada dokumen penting jadi agak sukar untuk melakukan pencarian ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

CIAPAN Hafidzah yang tular di Twitter. FOTO Twitter
CIAPAN Hafidzah yang tular di Twitter. FOTO Twitter

Meskipun begitu, Nur Hafidzah mengakui tidak pernah berputus asa sebaliknya meneruskan pencarian tanpa henti.

“Tiada istilah putus asa dan carian menerusi Twitter itu sebenarnya adalah idea salah seorang rakan saya dari Malaysia dan saya hanya cuba berikhtiar.

“Dalam tempoh singkat iaitu tidak sampai sehari, perkongsian itu tular dan terkejut selepas menerima kiriman mesej daripada kakak kandung , Noor Ellina.

“Kakak sudah menghubungi saya tetapi kami tidak dapat berbual lama, namun bercadang untuk mengadakan pertemuan sebelum saya mendirikan rumah tangga pada Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu, Noor Ellina bersyukur kerana penantiannya untuk menjejaki adik kandungnya berakhir selepas mereka ‘dipertemukan’ menerusi platform Twitter.

“Setahu saya, arwah emak, Maslinda Jambol menyerahkan adik (Nur Hafidzah) kepada rakan baiknya sendiri ketika masih bayi dan mulanya, kedua-dua keluarga berhubung menerusi kiriman surat dan kad raya.

“Lama kelamaan, kiriman itu tidak berbalas dan saya akui hampir berputus asa kerana menganggap tiada harapan bertemu lagi dengannya.

“Namun, pagi tadi, salah seorang rakan memaklumkan saya mengenai perkongsian adik di Twitter.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya menghantar kiriman mesej kepadanya dan ternyata, memang dia individu yang saya cari sejak dulu.

“Terima kasih kepada warganet yang membantu dengan menyebarkan perkongsian adik kerana tanpa tularnya hebahan itu, agak sukar untuk kami bertemu,” katanya yang kini menetap di Kepong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 9:04 PM