NUR Aishah membuat panggilan video bersama kakak dan abang kandungnya yang terpisah sejak 22 tahun lalu. FOTO Nur Aishah Maulad Johari
NUR Aishah membuat panggilan video bersama kakak dan abang kandungnya yang terpisah sejak 22 tahun lalu. FOTO Nur Aishah Maulad Johari
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas 22 tahun terpisah dengan keluarga kandungnya, impian Nur Aishah Maulad Johari menemui mereka akhirnya tertunai menerusi satu panggilan video, semalam.

Pertemuan menyentuh emosi itu diatur selepas wanita berusia 25 tahun itu membuat ciapan pencarian keluarga kandungnya di Twitter, Selasa lalu sebelum seorang individu tampil berkongsi nombor telefon keluarga kandungnya.

Menerusi panggilan video itu, Nur Aishah berhubung dengan bapanya yang menetap di Alor Setar, Kedah, kakak (Amerika Syarikat) serta abangnya yang berada di Ampang, Selangor manakala ibu serta saudara kembarnya masih gagal dikesan.

Nur Aishah berkata, walaupun cuma berhubung di alam maya, ia sudah cukup melegakan dan mengubat kerinduannya terhadap ahli keluarganya yang terpisah sejak usianya tiga tahun.

GAMBAR lama Nur Aishah (bayi) bersama keluarga angkat dan keluarga kandungnya. FOTO Nur Aishah Maulad Johari
GAMBAR lama Nur Aishah (bayi) bersama keluarga angkat dan keluarga kandungnya. FOTO Nur Aishah Maulad Johari

"Semalam adalah detik paling bermakna dalam hidup saya kerana dapat 'jumpa' dengan tiga insan yang saya cari selama ini walaupun dua lagi belum ditemui.

"Saya rasa macam tak percaya dan terharu dapat bercakap dengan ayah, kakak dan abang kandung yang terpisah sejak 22 tahun lalu.

"Selama ini, saya hanya melepaskan rindu dengan menatap gambar lama mereka yang ada dalam simpanan keluarga angkat saya saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia terputus hubungan dengan ahli keluarga kandung selepas diserahkan kepada keluarga angkat secara sah pada 1996, akibat kesempitan hidup.

Katanya, ketika itu ibu bapanya menetap di Pulau Pinang sebelum mereka menyerahkannya yang pada masa itu berusia tiga bulan kepada keluarga angkat kerana tidak berkemampuan memandangkan saya ada kembar dan seorang abang serta kakak.

"Pada 1999, keluarga angkat saya berpindah ke Kulim dan sejak itu kami terputus hubungan dengan keluarga kandung saya.

"Saya dan keluarga angkat pernah berusaha menjejaki keluarga kandung di rumah lamanya di Pulau Pinang, namun mereka sudah berpindah.

"Ketika berusia 16 tahun, saya mengikut keluarga angkat berpindah ke Johor Bahru dan menetap di situ sampai sekarang," katanya.

Menurutnya, selepas pelbagai usaha mencari mereka tidak berhasil, dia mencuba cara terakhir dengan memuat naik gambar keluarga kandung di Twitter, Selasa lalu.

Katanya, dia tidak menyangka dalam tempoh lima jam saja, seorang individu menghubunginya sebelum menyerahkan nombor telefon ayah kandungnya.

"Misinya saya kini adalah mencari ibu serta saudara kembar yang terpisah dengan keluarga kandung sejak mereka bercerai.

"Saya difahamkan, mak dan ayah kandung bercerai sebelum keluarga kandung saya berpindah dari Pulau Pinang.

"Ayah menjaga kakak dan abang manakala mak pula membawa kembar saya bersamanya dan sejak itu mereka terputus hubungan," katanya.

Menurutnya, walaupun kini dia memiliki kehidupan lebih baik bersama keluarga angkat, dia teringin sangat nak jumpa kembar dan orang yang melahirkannya.

Katanya, dia berharap satu hari nanti mereka sekeluarga akan dapat bersatu semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 9:18 PM