Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


BIARPUN disahkan menghidap Cerebral Palsy atau lumpuh otak sejak kecil, siapa sangka dengan kuasa Allah SWT, kanak-kanak lelaki ini mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 10 bulan saja.

Dengan hanya mendengar alunan ayat suci menerusi telefon bimbit ibunya, Naja Hudia Afifurahman Hidayat, 9, kini menjadi kebanggaan keluarga dengan kelebihan luar biasa dimilikinya itu.

Lebih hebat lagi, Naja mampu mengingat ayat dalam setiap halaman al-Quran dan menyambung setiap surah yang dibaca oleh orang lain.

Ibunya, Dahlia Andayani Suparlan, 38, berkata, dia sendiri tidak menyangka anak sulung daripada dua beradik itu dikurniakan kelebihan berkenaan apatah lagi selepas disahkan lumpuh otak selepas kandungannya disahkan lemah oleh doktor.

“Sebaik kandungan disahkan lemah, saya percaya mukjizat al-Quran mengatasi segala-galanya dan mula memperdengarkan bacaan al-Quran setiap hari buat bayi dalam kandungan.

“Naja mampu bertahan sehingga dilahirkan pada usia kandungan tujuh bulan, setiap hari saya memperdengarkan bacaan al-Quran tanpa jemu,” katanya ketika ditemui Harian Metro dalam siri jelajah Syabab Care Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

NAJA Hudia Afifurahman (kiri) bersama ibunya, Dahlia Andayani ketika ditemui di KLCC. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
NAJA Hudia Afifurahman (kiri) bersama ibunya, Dahlia Andayani ketika ditemui di KLCC. FOTO Nurul Shafina Jemenon.

Dia yang berasal dari Mataram, Lombok itu berkata, anak sulungnya itu tidak dapat membaca tetapi mampu mendengar dengan baik.

“Daripada situ, saya mula mendengarkan ayat al-Quran menerusi telefon setiap hari dan percaya ia mula sebati dalam diri Naja.

“Selepas mendengar, Naja mampu mengalunkan setiap surah manakala saya membantu memperbetulkan bacaannya,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur walaupun anaknya serba kekurangan namun Allah memberinya penerang hati dengan mampu menghafaz al-Quran.

“Alhamdulillah saya lihat dia juga berminat ke arah agama dan mendengar dengan tekun setiap ayat sehingga boleh menyambung dengan tepat surah dari mana-mana ayat sehingga ke halaman berapa,” katanya.

Dahlia Andayani berkata, sebagai ibu dia tidak mempunyai rahsia tertentu mengajar Naja mengaji, sebaliknya ia hanya proses pengajian biasa dan dilakukan di rumah.

Bagaimanapun, dia bersyukur dengan kelebihan Naja yang seolah-olah menjadi ‘al-Quran bergerak’ walaupun sebenarnya dia tidak boleh membaca sama sekali.

Naja adalah salah seorang peserta dalam rancangan Hafiz Indonesia 2019 yang menjadi tular di laman sosial apabila kemampuannya mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran walaupun dirinya serba kekurangan.

Rancangan berkenaan menguji kemampuan hafazan dan ingatan Naja dengan memberi beberapa potongan ayat supaya disambung peserta.

Sementara itu, Pengarah Operasi Syabab Care Mohammad Azwan Kamaruzaman berkata, Naja berada di negara ini sehingga 1 Ogos depan dan akan menjelajah ke beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu untuk berkongsi pengalamannya.

Katanya, mereka dipertemukan dalam beberapa misi kemanusiaan pertubuhan itu di Lombok sebelum ini dan memutuskan untuk membawa kanak-kanak itu ke Malaysia.

“Kami rasa sungguh bertuah kerana bertemu Naja, seorang yang saya sifatkan amat luar biasa kerana boleh menghafaz al-Quran dengan hanya mendengar saja. Allah SWT kurniakan kelebihan yang tak terjangkau dengan akal fikiran kita.

“Insya-Allah perkongsian ini akan memberi manfaat kepada orang ramai. Kita juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi maklumat lanjut di Facebook Syabab Care,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:00 PM
NAJA Hudia Afifurahman (kiri) bersama ibunya, Dahlia Andayani ketika ditemui di KLCC. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
NAJA Hudia Afifurahman (kiri) bersama ibunya, Dahlia Andayani ketika ditemui di KLCC. FOTO Nurul Shafina Jemenon.