ISTIKAMAH mengajar Nurul Khatimah membaca al-Quran sambil diperhatikan Ilham Habibi.
ISTIKAMAH mengajar Nurul Khatimah membaca al-Quran sambil diperhatikan Ilham Habibi.
Siti Zarinah Sahib


Menjalani rutin harian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada masa sama bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata tidak menjadi penghalang bagi Istikamah Subuki mendidik dua anaknya Nurul Khatimah Khatibul Imam, 6, dan Ilham Habibi Khatibul Imam, 3, menghafaz al-Quran.

Ia bermula apabila secara tidak sengaja apabila Istikamah mengunjungi bengkel menghafaz al-Quran untuk kanak-kanak di Shah Alam enam tahun lalu.

"Saya teruja melihat anak kecil berusia empat tahun menghafaz surah pendek. Sejak itu saya nekad mengajar anak menjadi hufaz. Jika mereka daripada kalangan ibu berkerjaya boleh melakukannya, saya juga pasti boleh," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Istikamah adalah lebih baik ibu bapa mengajar sendiri anak mengaji al-Quran berbanding membayar guru agama. Ini disebabkan anak sangat aktif jadi ada masanya mereka malas, tiada mood atau beremosi. Dalam hal ini hanya ibu yang memahami kerenah anak dan tahu bila masa sesuai untuk anak fokus menghafaz.

Dia mula memperkenalkan kad imbas setiap hari selama lima minit, sejak anak sulung berusia dua bulan. Walaupun ketika itu si kecil tidak memahami apa-apa, pada usia begini bayi akan mencerap apa saja yang dipelajari dan akan meluahkan semula pada waktu sesuai.

ISTIKAMAH bermain bersama dua anaknya Nurul Khatimah dan Ilham Habibi sambil memasukkan bacaan al-Quran ketika bermain.
ISTIKAMAH bermain bersama dua anaknya Nurul Khatimah dan Ilham Habibi sambil memasukkan bacaan al-Quran ketika bermain.

“Saya juga memperdengarkan bacaan al-Quran di rumah sepanjang masa termasuk ketika tidur. Bacaan secara audio sangat penting dan mudah diingati anak kecil. Di setiap sudut rumah saya tampal huruf hijaiyah dan surah tertentu. Ini dapat melengkapkan tiga deria penting iaitu melihat, mendengar dan menyentuh,” katanya.

Katanya, pada zaman teknologi ini amat mudah ibu bapa memberikan gajet agar anak boleh menonton rancangan kartun atau permainan video kegemaran mereka. Namun ibu bapa yang tekad mengajar anak menghafaz seharusnya bertukar kepada saluran berbentuk pembelajaran seperti bacaan al-Quran supaya mereka mempunyai minat sejak kecil.

“Dedahkan dengan bacaan al-Quran sejak bayi. Biar telinga mereka dibiasakan dengan bacaan ayat suci al-Quran. Mungkin pada mulanya agak janggal apabila 24 jam radio mengalunkan bacaan al-Quran tetapi lama-kelamaan anak sendiri akan meminta agar diperdengarkan ayat suci ini. Saya juga jarang menonton televisyen jadi anak tidak dibiasakan dengan program kartun melainkan sekiranya berkunjung ke rumah saudara mara,” katanya.

Jaga pemakanan

Mengenai pemakanan, sejak kecil Istikamah mengelak memberikan makanan segera, snek dan makanan ringan kepada anak. Jadi, mereka tidak meminta sebaliknya tahu mana menu berkhasiat dan tidak memberi manfaat. Ilham pernah demam selepas menikmati makanan ringan. Jadi dengan sendiri dia tahu makanan itu tidak berkhasiat.

Mengenai cabaran ibu berkerjaya berbanding suri rumah sepenuh masa, Istikamah mengakui proses pengajaran adalah lebih mencabar. Ibu hanya boleh menumpukan perhatian kepada anak pada waktu malam dan hujung minggu. Namun halangan ini pasti dapat diatasi sekiranya mendapat kerjasama suami.

“Saya mengambil tugas mengajar mengaji di rumah. Ini bukan bermakna suami tidak mampu tetapi mungkin disebabkan wanita lebih penyabar dan penuh dengan sifat kasih sayang membuatkan anak mudah mendengar kata.

“Suami pula membantu menyelesaikan kerja rumah seperti mengemas dan memasak. Jika tiada kerjasama memang sukar untuk merealisasi impian mendidik anak menjadi hufaz.

“Selain itu, jangan terlalu risau jika rumah bersepah, anda boleh kemas selepas anak tidur atau dapatkan khidmat mengemas pada hujung minggu,” katanya.

Menetap di Sungai Buloh, Selangor dan bekerja di Shah Alam setiap hari rutinnya bermula dengan menghantar anak ke rumah pengasuh dan tadika.

NURUL Khatimah berjaya menghafaz empat juzuk pada usia enam tahun.
NURUL Khatimah berjaya menghafaz empat juzuk pada usia enam tahun.

Jam 6 petang selepas habis waktu pejabat dia mengambil anak di rumah pengasuh dan membawa mereka bermain di taman permainan sebelum pulang ke rumah bagi mempersiapkan diri untuk solat berjemaah.

“Usai solat saya akan mengajar Nurul dan adiknya mengaji sementara menunggu suami menyediakan hidangan makan malam. Inilah sahaja masa berkualiti yang kami ada. Dulu saya luangkan masa bermain kad imbas dengan Nurul tetapi sejak dia boleh membaca, saya mengaji dengannya. Kadang-kadang saya mengaji dia mendengar atau dia membaca surah dan saya membetulkannya,” katanya.

Kata Istikamah, proses menghafaz pula tidak dijalankan secara formal sebaliknya dilakukan di mana-mana saja. Misalnya ketika sedang memakai baju, bermain di taman permainan, ketika bercuti, di dalam kereta dan sebelum tidur. Ia lebih mudah kerana anak tidak berasakan mereka dipaksa sebaliknya ia berlaku dalam suasana santai dan sukarela.

“Namun ia perlu dilakukan secara konsisten dan berterusan walaupun sekejap. Saya juga tidak memaksa Nurul mengaji secara formal sehingga usianya mencecah lima tahun, iaitu umur si kecil sudah mampu mengikut arahan,” katanya.

Proses pengajaran juga menjadi lebih mudah apabila suami turut mengikuti kelas hafazan dan menghafaz al-Quran di rumah. Jadi secara tidak langsung Nurul mempunyai idola untuk diikuti.

Rajin cari ilmu

Bagi mengekalkan momentum dan semangat tinggi mengajar anak-anak, Istikamah tahu dia perlu mengikuti pelbagai seminar dan bengkel mengenai al-Quran. Ini bagi membolehkan dia bertemu dengan ramai ibu yang mempunyai semangat yang sama dan dapat bertukar-tukar pendapat.

Berada di sekeliling insan yang mempunyai matlamat sama memudahkan urusan mendidik anak menjadi hafiz dan hafizah. Ini kerana jalan yang sudah tersedia dapat dilalui dengan mudah menerusi sokongan keluarga dan rakan. Hasilnya pada usianya mencecah enam tahun Nurul berjaya menghafaz empat juzuk al-Quran dan memahami maksud setiap surah yang dibacanya.

“Saya perhatikan dia lebih bersemangat apabila saya memperkenalkan aktiviti memahami makna surah. Dia teruja apabila mengetahui kisah nabi dan sahabat. Lebih menggembirakan Nurul tahu bila dia perlu menggunakan hafazannya itu iaitu ketika menunaikan solat.

Banyak bacaan surah panjang diperdengarkan ketika solat,” katanya tersenyum.

KELUARGA bahagia Istikamah bersama suami, Khatibul Subuki dan tiga anak mereka, Nurul Khatimah, Ilham Habibi serta Abdul Fattah di rumah mereka.
KELUARGA bahagia Istikamah bersama suami, Khatibul Subuki dan tiga anak mereka, Nurul Khatimah, Ilham Habibi serta Abdul Fattah di rumah mereka.

Memiliki anak kedua ketika Nurul berusia tiga tahun, satu proses yang sangat mencabar. Ini kerana dalam memberikan tumpuan kepada Nurul, si kecil Ilham juga perlu diberikan perhatian.

“Saya agak terlambat mengajar Ilham disebabkan ingin fokus kepada Nurul, jadi dia agak ketinggalan berbanding kakaknya,” katanya yang mempunyai anak ketiga Abdul Fattah yang diperkenalkan kepada kad imbas sebaik sahaja usianya mencecah enam bulan.

Nurul yang dihantar ke sekolah rendah swasta di Sungai Buloh, selain cemerlang dalam subjek hafazan turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam mata pelajaran teras yang lain.

“Saya percaya ia disebabkan proses menghafaz al-Quran membuatkan otaknya menjadi lebih fokus dalam kelas,” katanya yang berharap lebih ramai ibu menggunakan peluang mengajar sendiri anak di rumah meskipun masa sangat terbatas. Menggunakan teknik yang betul, tidak mustahil si kecil yang berjiwa murni boleh menghafaz al-Quran dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:10 PM