Hasanulddin (tengah) dan Che Mohd Ibrahim (tiga kanan) bersama anak-anak sindrown down PSDT ceria menerima sumbangan daripada Warisan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Hasanulddin (tengah) dan Che Mohd Ibrahim (tiga kanan) bersama anak-anak sindrown down PSDT ceria menerima sumbangan daripada Warisan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


KEKURANGAN diri dengan mengalami masalah sindrom down sejak lahir tidak menjadi penghalang untuk seorang remaja berusia 13 tahun menghafaz al-Quran.

Abdul Fatah Hasanulddin, 13, dari Kampung Wakaf Tengah menghafaz al-Quran pada usia seawal enam tahun dengan bimbingan bapanya, Dr Hasanulddin Mohd, 40.

Hasanulddin berkata, anaknya memang sengaja didedahkan kepada anak sulungnya itu dengan al-Quran kerana yakin melalui pembacaan al-Quran proses perkembangan anaknya itu akan lebih lancar.

“Biarpun kemampuan menghafaznya tidak setanding orang biasa, hasil kegigihan dan latihan berterusan, Abdul Fatah tetap berjaya.

“Selepas lapan tahun, Abdul Fatah sudah berjaya menghafaz beberapa surah lazim dan sebahagian besar Surah Ar-Rahman.

“Saya tidak menetapkan sasaran tertentu untuk dicapainya, cuma sentiasa memastikan disiplinnya dalam mengikuti latihan hafazan di rumah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Meraikan Anak-Anak Sindrom Down bersama Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (WARISAN) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Abdul Fatah sempat memperdengarkan beberapa bacaan ayat al-Quran daripada surah Ar-Rahman kepada hadirin.

Tambahnya, anaknya itu mula menghafaz al-Quran setengah jam sebelum Subuh dan sejam selepas Subuh setiap hari.

“Abdul Fatah memang minat menghafaz, malah teruja apabila berjaya mengingati beberapa ayat yang baru dihafaznya.

“Jika tidak diselia saya atau isteri, Abdul Fatah akan mengulang hafazan dengan bantuan al-Quran elektroniknya.

“Sebagai bapa, saya bersyukur kerana Abdul Fatah cenderung kepada ilmu agama seperti itu,” katanya yang juga Pensyarah Syariah Falkulti Pengajian Kotemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, pembabitan anaknya dengan al-Quran membentuk keperibadian positif pada dirinyanya.

“Saya sarankan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa seperti itu mendedahkan anak mereka dengan pengajian al-Quran.

“Sebagai bapa, saya boleh lihat perkembangan positif Abdul Fattah apabila dididik dengan melazimi al-Quran berbanding sebaliknya,” katanya.

Sementara itu Presiden WARISAN, Che Mohd Ibrahim Che Ghani berkata, beliau pertama kali mendengar anak sindrom down mengalunkan bacaan al-Quran.

“Rupanya anak istimewa yang memperoleh didikan khusus mampu menguasai sesuatu ilmu dengan baik.

“Saya harap kemampuan Abdul Fatah menghafaz al-Quran dijadikan inspirasi kepada anak istimewa lain dan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 5:05 PM