LUIS Santo di senarai teratas nilai perpindahan pemain import Liga M.
LUIS Santo di senarai teratas nilai perpindahan pemain import Liga M.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Ketika yang memperlekehkan Liga-M, angka RM67 juta atau 16 juta Euro yang diletakkan ke atas semua pemain import yang beraksi di negara ini pasti membuatkan banyak pihak membuka mata.

Liga-M yang lebih kompetitif dan berdaya saing menyebabkan ramai pemain import bernilai tinggi, berjaya dibawa masuk oleh pasukan tertentu bagi menguatkan lagi kesebelasan utama masing-masing.

Namun, timbul persoalan adakah khidmat mereka setimpal dengan nilai yang diletakkan sedangkan ada pemerhati yang menganggap persembahan awang import berkenaan hanya setanding dengan pemain tempatan.

Ada juga antara mereka yang sebenarnya dinilai terlalu kurang berbanding sepatutnya jika perkara itu dilihat berdasarkan data yang diperoleh daripada laman sesawang terkenal bola sepak dunia, Transfermarkt.

Berdasarkan nilai Transfermarkt, sudah pasti pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) mengungguli carta berkenaan apabila merekodkan keseluruhan tanda harga mereka kira-kira RM15 juta.

Penyerang sensasi JDT, Diogo Luis Santo berada di carta teratas apabila pemain berasal dari Brazil itu mempunyai nilai pasaran kira-kira RM4 juta manakala Leandro Velázquez pula RM3.2 juta.

Pemain import baharu Terengganu FC, Sanzhar Shaakhmedov agak ‘keras’ nilainya apabila dia merekodkan individu ketiga termahal dengan nilai kira-kira RM3.2 juta.

Manakala awang import Pahang yang dikenali sebagai ‘Orang Besi’ Dickson Nwakaeme turut berada dalam carta 10 pemain import termahal dengan tanda nilai RM2 juta.

Saddil Ramdani dan Harris Harun masing-masing beraksi untuk Pahang dan JDT pula dinilai sebagai pemain Asia Tenggara mempunyai tanda harga paling tinggi iaitu kira-kira RM750,000.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan anggaran terbabit dilakukan mengikut beberapa kriteria, namun ia tetap bersandarkan kepada pasaran tempatan dan saingan domestik.

Beliau berkata, ada antara pemain import tidak dinilai berdasarkan persembahan semasa namun lebih kepada rekod kelab yang pernah mereka wakili sebelum ini.

Katanya, nilai pemain berkenaan kemungkinan lebih murah apabila tidak pernah beraksi dengan mana-mana liga kompetitif atau terkenal sebelum ini sekali gus melihat tanda harganya jauh lebih murah.

“Sebagai contoh Romel Oswaldo Morales dan Kpah Sherman tanda harga hanya RM300,000 namun prestasi dan keupayaannya boleh dikatakan terbaik dan memuaskan.

“Kebiasaannya jika tanda harga tinggi gaji mereka pun pastinya sekurang-kurangnya RM30,000 sebulan, setimpal dengan nilai pemain berkenaan.

“Jika mereka pernah beraksi bersama kelab ternama pasti nilai mereka lebih tinggi dan mungkin tidak sama seperti yang dipaparkan di Transfermarkt,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 5:30 AM