JDT bernilai RM41.5 juta. -FOTO Agensi
JDT bernilai RM41.5 juta. -FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menerajui carta pasukan paling bernilai di Liga Malaysia apabila nilainya mencecah £7.79 juta (RM41.5 juta).

Nilai anggaran itu ditetapkan oleh laman web www.transfermarkt.co.uk berdasarkan jumlah keseluruhan harga pasaran pemain yang dimiliki skuad Harimau Selatan.

Keputusan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu membawa masuk pemain berstatus bintang seperti Jordi Amat dan Daniel Ting menambah nilai kelab terbabit sebagai pasukan termahal setakat ini.

Berdasarkan pasaran Jordi yang ditetapkan laman berkenaan adalah sekitar £900,000 (RM4.8 juta) manakala Ting yang juga bekas pertahanan KL City bernilai £113,000 (RM602,131).

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor muncul pasukan kedua yang memiliki skuad termahal dalam Liga Super musim ini dengan nilai pasaran pemain mereka dianggarkan bernilai £3.41 juta (RM18.1 juta).

Hyuri Henrique menjadi pemain paling bernilai tinggi Gergasi Merah dengan nilai pasaran £495,000 (RM2.6 juta) selain penyerang berbisa mereka, Herlison Caion memegang tanda harga £338,000 (RM1.8 juta).

Kedah Darul Aman (KDA) dan Sabah pula berkongsi kedudukan ketiga dengan anggaran nilai pasaran keseluruhan pemain mereka berjumlah £3.12 juta (RM16.6 juta).

Perancang tengah dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi yang baharu di tandatangani KDA pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini muncul pemain termahal skuad Sang Kenari iaitu £293,000 (RM1.5 juta).

Pasukan yang sedang bergelut dalam Liga Super musim ini, Sri Pahang berada di kedudukan keempat apabila skuad Tok Gajah diletakkan tanda harga £3.06 juta (RM16.3 juta).

Juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City (KL City) bernilai £2.97 juta (RM15.8 juta), mengatasi jaguh Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) yang memiliki skuad £2.92 juta (RM15.5 juta).

Pasukan tangga tercorot, Penang pula diletakkan tanda harga £2.47 juta (RM13.1 juta) dan PJ City yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan pula dianggarkan bernilai £2.14 juta (RM11.4 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 4:24 PM