MD Elliza yang juga pemandu FRT hadir untuk prosiding inkues Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
MD Elliza yang juga pemandu FRT hadir untuk prosiding inkues Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SUASANA prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menjadi beremosi apabila saksi kedua dilihat menahan air matanya ketika berada di dalam kandang saksi.

Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor, 36, dilihat sayu ketika melihat dokumen dan gambar Muhammad Adib yang diserahkan pihak mahkamah.

Md Elliza beberapa kali menahan air matanya daripada gugur sambil menundukkan wajah ketika menyelak dokumen berkenaan iaitu pada malam kejadian itu pada 27 November tahun lalu.

Terdahulu, saksi itu disoal Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah pada hari pertama inkues Muhammad Adib, 24, di hadapan Koroner Robiah Mohamad di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, selepas berjaya membawa jentera FRT keluar dari kumpulan orang awam, beliau terus memandu jentera itu menuju ke Balai Polis USJ 8.

"Saya mendengar pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Shahril Osman memaklumkan kepada penyelia bahawa Muhamad Adib tidak ada di dalam EMRS.

“Kami cuba hubungi Muhamad Adib beberapa kali tetapi tidak berangkat, namun 15 ke 20 minit selepas itu, ada orang awam menggunakan telefon Muhamad Adib menghubungi kami dan memaklumkan dalam perjalanan ke SJMC,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:04 PM