SYUKUR (kanan) menggosok belakang tongkol ketika kerbau itu dibawa naik ke atas lori untuk dibawa ke rumah rakan bapanya di Kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang. FOTO ihsan Muhamad Alias Khamis.
SYUKUR (kanan) menggosok belakang tongkol ketika kerbau itu dibawa naik ke atas lori untuk dibawa ke rumah rakan bapanya di Kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang. FOTO ihsan Muhamad Alias Khamis.
Ahmad Rabiul Zulkifli


TONGKOL iaitu kerbau kesayangan Muhammad Syukur Khamis, 14, akan disembelih sempena meraikan majlis sambut menantu dua abang remaja digelar 'Mowgli Malaysia' itu, esok.

Kerbau jantan berusia lima tahun dan dijaga Syukur sejak kecil itu akan disembelih di rumah rakan bapanya, Khamis Jusoh, 63, di Kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang pada 6 pagi.

Abang kepada Muhammad Syukur, Muhamad Alias Khamis, 29, berkata dia sudah memberitahu bapanya supaya tidak menyembelih kerbau berkenaan dan menggantikannya dengan yang lain kerana mengenangkan hubungan rapat Tongkol dengan adiknya itu.

"Bagaimanapun kerana faktor umur Tongkol yang sudah mencapai tahap matang, ia tetap perlu disembelih.

"Bukan sahaja Syukur, tetapi kami sekeluarga memang sayangkan Tongkol kerana haiwan itu paling jinak, malah dijaga di rumah sejak kecil lagi.

"Tongkol sudah serasi bersama Syukur dan selama ini ia menjadi pengganti kepada kerbau bernama Awang yang sebelum ini gambarnya tular di media sosial dan memenangi anugerah," katanya.

SYUKUR bersama abangnya, Muhamad Azhar Khamis, 26, bermanja dengan Tongkol untuk kali terakhir sebelum kerbau itu dibawa untuk disembelih sempena meraikan Majlis Sambut Menantu dua abangnya, esok. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
SYUKUR bersama abangnya, Muhamad Azhar Khamis, 26, bermanja dengan Tongkol untuk kali terakhir sebelum kerbau itu dibawa untuk disembelih sempena meraikan Majlis Sambut Menantu dua abangnya, esok. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

Menurutnya, kerbau kesayangan itu sengaja disembelih di rumah rakan bapa supaya dia dan keluarga tidak melihatnya.

"Seharian Syukur muram dan tidak bersemangat untuk menguruskan kerbau serta melayan tetamu yang datang menemuinya hari ini.

"Sepanjang musim cuti ini, ramai pengunjung dari luar termasuk Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor datang ke rumah untuk berjumpa Syukur.

"Sehingga hari ini pengunjung masih datang bertali arus untuk menemui Syukur, namun kerana Tongkol akan disembelih, layanan diberikan tidak seceria selalu," katanya.

Menurut Muhamad Alias, majlis sambut menantu meraikan dia dan abangnya, Muhamad Kamil Khamis, 30, bersama isteri masing-masing, dijangka dihadiri lebih 3,000 tetamu.

"Lepas ini akan ada kerbau menggantikan Tongkol kerana sudah menjadi lumrah dan adat memelihara haiwan ternakan seperti itu.

"Sampai masa ia akan disembelih dan yang lain pula yang akan menjadi pengganti," katanya.

Tular di media sosial mengenai Syukur menangis serta bermuram apabila terpaksa berpisah dengan kerbau kesayangannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:47 PM