Muhammad Syukur menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya pada pertemuan tertutup bersama Sultan Mizan di Istana Badriah. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Syukur menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya pada pertemuan tertutup bersama Sultan Mizan di Istana Badriah. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SANGAT teruja, tetapi gugup sehingga beberapa kali pergi ke tandas sebelum mengadap baginda,” kata Muhammad Syukur Khamis, 14, ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Muhammad Syukur yang terkenal dengan panggilan ‘Mowgli Malaysia’ itu berkongsi saat manis mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan bertemunya dalam pertemuan tertutup di Istana Badariah, Kuala Terengganu, semalam.

Pada pertemuan 10 pagi itu, ibu bapa Muhammad Syukur, Azizah Mamat, 58, dan Khamis Jusoh, 68, bersama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Abu Hasmadi A Bakar dan jurugambar Mohd Nazri Sulaiman turut mengadap Sultan Mizan.

Muhammad Syukur berkata, pertemuan dengan Sultan Terengganu adalah pencapaian tertinggi dalam hidupnya dan dia tidak pernah bermimpi untuk berada pada tahap berkenaan.

“Saya tahu bukan senang untuk menemui Sultan Mizan dalam suasana begitu dan sebab itu saya gugup untuk mengadap Tuanku.

“Dalam pertemuan selama 30 minit, baginda berkenan memberikan nasihat antaranya meminta saya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.

“Selain itu, baginda meminta saya menjaga ibu bapa dengan sebaik mungkin,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Muhammad Syukur (enam kanan) dan Nazri (tujuh kanan) serta ahli keluarga pada pertemuan tertutup bersama Sultan Mizan di Istana Badriah. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Syukur (enam kanan) dan Nazri (tujuh kanan) serta ahli keluarga pada pertemuan tertutup bersama Sultan Mizan di Istana Badriah. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, abangnya, Muhamad Alias, 29, dari Kampung Banggol Katong berkata, dia sekeluarga terharu dan berbesar hati apabila Sultan Mizan berkenan menerima kunjungan adik dan ibu bapanya.

“Sebagai ahli keluarga, saya bangga apabila adik, ibu dan ayah mendapat perkenan untuk mengadap Tuanku.

“Pertemuan dengan Tuanku pengiktirafan buat kami sekeluarga dan menjadi penghargaan terbesar yang diperoleh sepanjang hidup,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan pada pertemuan itu, Sultan Mizan turut berterima kasih dan bangga atas usaha serta kejayaan yang dicapai sehingga Terengganu dikenali di peringkat antarabangsa.

“Baginda turut berkenan menyampaikan surat penghargaan dan sumbangan menerusi pertemuan yang dikelolakan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 10:31 PM