Muhammad Syukur memberi cenderahati gambar kerbau kepada Zah (kiri) sempena persaraan pengetua itu. FOTO Malik Muhamad
Muhammad Syukur memberi cenderahati gambar kerbau kepada Zah (kiri) sempena persaraan pengetua itu. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


SEKOLAH Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, dihadiahkan kerbau berusia empat tahun oleh Khamis Jusoh, 63, bapa kepada Muhammad Syukur yang dikenali netizen sebagai Syukur ‘The Kampung Boy’.

Khamis menghadiahkan kerbau kepada sekolah yang menghimpunkan 1,720 pelajar, termasuk guru itu sempena majlis persaraan pengetua sekolah berkenaan, Zah Mohamad, semalam.

Khamis ketika ditemui berkata, dia berniat untuk menghadiahkan kerbau bernilai RM4,200 kepada sekolah berkenaan bagi menghargai jasa guru dan pihak sekolah yang mendidik anaknya selama ini.

“Anak saya seramai lima orang, termasuk Muhammad Syukur, belajar dan berjaya di sekolah ini.

“Kebetulan pengetua sekolah bersara Khamis ini (semalam), jadi saya sedekahkan (kerbau) kepada pihak sekolah untuk dijadikan lauk buat hidangan guru, pelajar dan tetamu,” katanya.

Anak Khamis, Muhammad Syukur mula dikenali dan popular dalam kalangan netizen selepas foto memaparkan aksi mesranya dengan kerbau ternakannya tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah kerbau yang disedekahkan itu adalah haiwan kesayangan anaknya berusia 14 tahun itu, Khamis berkata, kerbau berkenaan agak liar sedikit dan bukan sebahagian haiwan yang anaknya biasa bermain.

“Bagaimanapun, pada 8 Februari ini sempena menyambut menantu, saya akan menyembelih seekor kerbau jinak yang biasa bermain dengan (Muhammad) Syukur kerana kerbau itu sudah agak berusia,” katanya.

Sementara itu Muhammad Syukur mengakui sayang dengan kerbau yang dihadiahkan kepada pihak sekolah.

“Sayang jugok (juga), tapi saya redo (reda) kerana tujuannya baik disedekahkan kepada sekolah untuk hidangan guru dan rakan.

“Lagipun kerbau ini bukan jinak dan biasa saya bermain,” katanya.

Mengenai persaraan pengetua cemerlang sekolahnya itu, dia yang sebelum ini diberikan pangkat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai Lans Koperal, mengakui sedih kerana kehilangan pemimpin yang baik dan dedikasi.

“Cikgu Zah banyak berjasa kepada sekolah, saya harap cikgu tidak lupakan kami semua selepas bersara,” kata Muhammad Syukur yang sebelum ini mendapat kejutan apabila dikunjungi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 6:48 PM