Helmy Abd Rahman


POPULARITI ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur Khamis, 14, yang mencanak naik sejak kebelakangan ini membuatkan tetamu lebih bertumpu kepadanya untuk mengambil gambar berbanding dua abangnya yang bersanding pada majlis sambut menantu di Kampung Banggol Katong, Kuala Ternegganu, hari ini.

Malah, Muhammad Syukur seolah-olah menjalankan tugas khas pada majlis itu iaitu melayan tetamu ingin bergambar dengannya.

“Memang penat sangat sebab dari 9 pagi lagi sehingga sekarang sudah dekat 4.30 petang tetamu tak putus-putus nak bergambar dengan saya.

“Bagaimanapun saya tak kisah dan ingat pesan ayah supaya jangan sombong dan melayan orang yang menegur dan nak ambil gambar,” kata Muhammad Syukur.

Berbanding semalam, remaja berkenaan kelihatan agak ceria dan langsung tidak menampakkan kesedihan berikutan kerbau kesayangannya, Tongkol disembelih untuk dijamu kepada tetamu pada majlis sambut menantu itu.

Menurut Muhammad Syukur, dia memilih untuk memakan daging lembu sahaja pada majlis itu.

“Bukannya tak makan kerbau, tapi hari ini makan lembu,” katanya sedikit sedih.

Majlis hari ini menyaksikan lebih 5,000 tetamu datang meraikan pasangan Muhamad Kamil Khamis, 30, dan Nur Baizura Ramli, 31, serta Muhamad Alias Khamis, 29, dan Nurul Aina Che Jusoh.

Sementara itu, Muhamad Kamil berkata, dia dan isteri tidak kisah apabila tetamu lebih memberi perhatian kepada Muhammad Syukur walaupun ia majlis untuk meraikannya.

“Majlis ini untuk meraikan Syukur juga, memang kita dah tahu orang datang pun nak ambil gambar dengan dia,” katanya.

MUHAMMAD Syukur (tengah) bergambar bersama tetamu serta dua abang serta kakak iparnya pada majlis sambut menantu di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
MUHAMMAD Syukur (tengah) bergambar bersama tetamu serta dua abang serta kakak iparnya pada majlis sambut menantu di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 63, berkata tetamu tidak putus-putus datang sejak majlis bermula 9 pagi sehingga petang ini dan dijangka akan terus berlanjutan ke malam.

“Awalnya saya jangkakan 3,000 tetamu datang tapi sekarang tak boleh nak agak... rasanya lebih ramai daripada itu,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Syukur sudah ceria dan tidak lagi sedih seperti semalam disebabkan kerbau yang menjadi sahabat baiknya dikorbankan untuk majlis itu.

“Semalam pun dia jadi sedih sebab ramai orang yang bertanya sedih atau tidak, jika tidak tiada apa-apa,” katanya.

Berita berkaitan

'Selamat tinggal Tongkol...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 6:40 PM
POPULARITI Muhammad Syukur yang dikenali  'Mowgli Malaysia' membuatkan ramai tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersamanya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
POPULARITI Muhammad Syukur yang dikenali 'Mowgli Malaysia' membuatkan ramai tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersamanya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.