TANGKAP layar paparan hantaran meminta sumbangan. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar paparan hantaran meminta sumbangan. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Saya tidak pernah mengarahkan atau mewakilkan kepada sesiapa untuk mendapatkan sumbangan orang ramai seperti yang tular di media sosial itu," kata Muhamad Alias Khamis, 30, ketika ditemui di kandang kerbau milik keluarganya di Kampung Kubang Bujuk, hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang pengguna Facebook (FB) memuat naik hantaran (posting) meminta orang ramai memberikan sumbangan kepada keluarganya susulan kematian banyak kerbau selepas dijangkiti penyakit hawar berdarah (HS).

Muhammad Alias berkata, dia tidak tahu menahu mengenai hantaran berkenaan dan perbuatan itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarganya.

"Niat pengguna FB itu baik cuma tidak kena cara kerana membuatnya tanpa persetujuan kami. Saya akui nombor akaun CIMB Bank yang disertakan dalam hantaran itu memang nombor akaun saya.

"Bagaimanapun saya tidak pernah mengarahkan atau meminta sesiapa memuat naik hantaran seperti itu di FB. Memang saya ada memberi nombor akaun kepada kenalan dan peminat Muhammad Syukur yang berhasrat memberi sumbangan tetapi tidak pernah meminta ia ditularkan untuk mendapatkan sumbangan secara umum di media sosial," katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga sudah berbincang tidak akan meraih simpati dan meminta sumbangan orang ramai melalui media sosial seperti itu.

"Jika betul ingin membantu mereka boleh terus hubungi saya atau ahli keluarga lain secara peribadi.

"Kami sekeluarga bimbang sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan di atas kesusahan kami.

"Maklumlah sekarang banyak kes penipuan dalam internet justeru bimbang sekiranya nama baik keluarga turut terpalit dengan kes penipuan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, beberapa kenalan rapat termasuk jurugambar bebas dan artis yang pernah bekerjasama dengan Muhammad Syukur ada menghulurkan sumbangan peribadi.

"Alhamdulillah, sedikit sebanyak sumbangan mereka itu meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, hanya dua ekor kerbau yang mati sejak petang semalam termasuk kerbau kesayangan Muhammad Syukur yang dipanggil Tongkol seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan kerbau yang mati sejak 9 September lalu sebanyak 52 ekor.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kerbau milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu kerana diserang penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 11:45 AM