SWEET Qismina. FOTO Saifullizan Tamadi
SWEET Qismina. FOTO Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman

Bukan mudah membuat pilihan antara pelajaran dan karier seni kerana kedua-duanya sangat penting buat pelakon remaja Sweet Qismina.

Pelajaran sebagai bekalan masa hadapan, manakala lakonan bagi memenuhi minat selain menjadi sumber pendapatan.

Bagaimanapun, tawaran tampil sebagai heroin filem membuatkan Sweet nekad menangguhkan pengajiannya dalam jurusan Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) peringkat ijazah sarjana muda di sebuah pusat pengajian tinggi swasta selama satu semester.

“Bukan mudah untuk dapat jadi heroin filem. Puas berfikir bila lagi nak dapat peluang seperti ini dan saya ambil saja.

“Jadi, saya buat keputusan tangguh belajar sampai hujung Disember dan akan kembali semula ke kelas pada Februari ini,” katanya memaklumkan tempoh pengajian hanya berbaki setahun setengah saja lagi.

Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 21, berkata, dia pernah membintangi filem sebelum ini tetapi bukanlah bawa watak utama.

“Peluang berlakon filem Kenderaan Berat Ikut Kiri ini sukar dilepaskan.

“Mungkin judulnya agak pelik tapi ia karya komedi romantik yang menarik. Malah, saya bergandingan dengan Syafie Naswip sebagai hero. Pelakon lain ialah Ropie.

“Penggambaran yang bermula November lalu sudah selesai sepenuhnya,” katanya.

Bercerita lanjut perkara itu, Sweet mengakui tidak pasti sama ada masih ada peluang untuk menerajui filem pada masa akan datang.

BERGAYA pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH31) di PICC Putrajaya. FOTO Aziah Azmee
BERGAYA pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH31) di PICC Putrajaya. FOTO Aziah Azmee

“Salah satu sebab saya terima ialah genre komedi romantik kerana saya tak pernah berlakon cerita sebegini.

“Orang pun tak pernah nampak saya buat komedi dan mengapa tidak saya mencuba.

“Mana tahu orang akan nampak sisi lain saya dalam lakonan selepas ini,” katanya.

Sama ada kebetulan atau sebaliknya, ‘jodoh’ Sweet kuat dengan Syafie kerana terus digandingkan dalam beberapa projek drama.

“Banyak penerbit yang tawarkan saya bergandingan dengan dia sekarang.

“Sebelum ini kami pernah berlakon dalam drama Malaikat Pun Tahu untuk RTM.

“Alhamdulillah, maklum balas penonton sangat positif. Malah, gandingan kami dalam filem juga atas permintaan penerbit,” katanya.

Sweet berkata, dia dan Syafie yakin filem itu mampu memenuhi selera penonton.

“Apabila sebut komedi romantik, tak semua orang boleh terima lawak yang ditampilkan dan pengisiannya.

“Apa yang boleh kami yakinkan adalah jalan ceritanya lain daripada lain.

“Mungkin jalan ceritanya buat orang tertarik kerana kami generasi pelakon cilik yang berubah jadi dewasa,” katanya.

SWEET Qismina bersama Wan Hasrita (tengah) dan Emma Maembong memperagakan trofi pada majlis kesyukuran ABPBH31. FOTO Saifullizan Tamadi
SWEET Qismina bersama Wan Hasrita (tengah) dan Emma Maembong memperagakan trofi pada majlis kesyukuran ABPBH31. FOTO Saifullizan Tamadi

Bakal bergandingan lagi dengan Syafie menerusi drama Aku Dia Dan Pinky Promise, Sweet membayangkan untuk fokus sepenuhnya terhadap pelajaran pada tahun ini.

“Sebenarnya masih ada tawaran yang datang untuk drama bulan Ramadan dan filem juga dengan Syafie.

“Tapi agak susah untuk saya terima apabila sambung kuliah.

“Situasi sebelum ini pun sama tapi mujurlah produksi boleh ikut jadual saya.

“Cuma, kalau untuk watak utama saya sukar terima kerana tak mahu menyusahkan produksi,” katanya.

Pelakon yang pernah menggondol trofi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH 31 itu berkata, dia tidak risau sekiranya ada beranggapan popularitinya menurun sekiranya sibuk belajar kerana drama lakonannya masih dapat disaksikan di kaca TV.

“Bagi saya, itu sudah memadai kerana orang tahu saya masih ada dalam industri.

“Kadangkala saya menghilang bukan bermakna saya hilang terus tetapi kerana terbabit dengan penggambaran drama yang akan disiarkan satu persatu nanti.

“Untuk tahun ini, saya bercadang terima tawaran mengacara program tertentu yang tidak mengganggu jadual kuliah,” katanya.

BERAMAH mesra dengan peminat pada majlis kesyukuran ABPBH31. FOTO Saifullizan Tamadi
BERAMAH mesra dengan peminat pada majlis kesyukuran ABPBH31. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:01 AM