GANDINGAN serasi Liyana dan Amar dalam drama Cikgu, Papa Kirim Salam.
GANDINGAN serasi Liyana dan Amar dalam drama Cikgu, Papa Kirim Salam.
Ridzuan Abdul Rahman

WALAUPUN baharu ditayangkan empat episod, drama genre romantik komedi berjudul Cikgu, Papa Kirim Salam yang ditayangkan menerusi slot Dahlia TV3 setiap Sabtu dan Ahad berjaya menarik perhatian peminat.

Selain jalan cerita menarik, drama 20 episod arahan Suhaimi Lua Abdullah ini ada kelainan apabila menggandingkan pelakon Liyana Jasmay dan Amar Asyraf yang tampil dalam watak berbeza berbanding lakonan mereka sebelum ini.

Suhaimi berkata, dia berpuas hati apabila dapat bekerja dalam produksi ini kerana semua yang terbabit bersikap profesional, sekali gus memudahkan penggambaran.

“Penerbit Orange Tree Production Sdn Bhd langsung tidak mengganggu kerja saya di lokasi dan ini membolehkan saya berkarya sebaik mungkin.

“Sikap profesional diperlihatkan dalam semua aspek termasuk di belakang tabir. Ketika peringkat awal mereka sudah perjelaskan dari segi watak, pakaian dan pelbagai perkara lagi berkaitan penggambaran,” katanya.

SUHAIMI (kanan) gembira barisan produksi dan pelakon profesional dalam kerja mereka.
SUHAIMI (kanan) gembira barisan produksi dan pelakon profesional dalam kerja mereka.

Suhaimi juga gembira dengan keserasian gandingan Liyana dan Amar serta turut dibantu Zee Zainal yang disifatkan sebagai pelakon komedi yang baik.

Selain itu, watak Yaya yang dibawa pelakon kanak-kanak, Rania membuat cerita ini hidup dengan kelucuan spontan yang diperlihatkan.

“Awal-awal lagi mereka nampak serasi. Ini kali kedua saya bekerja dengan Amar selepas telefilem Mencari Indah di TV9.

“Saya sudah tahu kemampuan dia membawakan watak komedi. Oleh itu, tidak susah untuknya memberikan lakonan terbaik 100 peratus dalam cerita ini.

“Dia juga rajin buat rujukan, sekali gus melancarkan perjalanan penggambaran Cikgu, Papa Kirim Salam,” katanya.

Mengenai Liyana pula, Suhaimi berkata, dia baru pertama kali bekerja dengannya, tetapi Liyana seolah-olah boleh membaca apa yang ada di dalam pemikirannya.

“Liyana adalah pelakon yang bagus dan wataknya tak perlu diajar lagi, manakala tidak keterlaluan dikatakan adalah Rania pelakon kanak-kanak yang cukup berbakat.

“Cerita ini jadi lebih ‘sweet’ apabila Rania bawa perangai kanak-kanaknya ke dalam set terutama ketika babak tidur kerana ketika itu dia memang mengantuk.

“Biasalah kanak-kanak semestinya banyak ragam. Kami banyak menggunakan psikologi untuk memujuk dia balik ke set dan urusan ini dikendalikan penolong pengarah,” katanya.

AMAR melakonkan watak Adam Haikal.
AMAR melakonkan watak Adam Haikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 4:00 AM