SIKAP terus terang sebagai pengikat kasih sayang antara dua hati.  FOTO: Mahzir Mat Isa
SIKAP terus terang sebagai pengikat kasih sayang antara dua hati. FOTO: Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir


BAU bunga cinta antara pasangan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee masih segar mewangi. Malah seiring peredaran waktu, begitulah juga mekarnya cinta mereka.

Menjadikan kepercayaan sebagai asas kekuatan cinta mereka, Sweet, 22, atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, antara mereka tiada rahsia.

Malah Sweet yang mula menjalin hubungan dengan Adam selepas berlakon bersama dalam drama Adam Chempaka berkata, sikap berterus terang yang dipraktikkan selama ini menjadikan mereka selesa untuk bersama.

Walaupun wujud perasaan tidak selamat dalam diri masing-masing, Sweet berkata, dia tidak pernah cuba mengongkong hidup Adam.

“Rasa tak selamat? Sentiasa ada. Sebab dia berusia sikit daripada saya iaitu 25 tahun. Jadi, lingkungan kawan dia dalam industri bukan dalam kalangan usia saya.

“Tapi, kebanyakan ‘batch’ dia adalah kakak-kakak yang saya anggap sebagai senior saya. Kalau tengok dia berkawan dengan mereka, tentu saja saya rasa tak selamat.

SWEET sasar kahwin sebelum 30 tahun.
SWEET sasar kahwin sebelum 30 tahun.

“Tapi seperkara yang bagus mengenainya dan hubungan kami ini adalah saling percaya sepenuhnya. Sebab dalam diam pun dia ada juga rasa tak selamat terhadap saya. Jadi, kami lebih suka bercakap secara terbuka tanpa perlu sorok. Perkara ini membuatkan kami berasa lebih selesa.

“Paling penting, dia pandai jaga diri. Tidak perlu saya nak kena ingatkan selalu. Pendek kata, kami memang saling percaya,” katanya.

Sweet yang juga pemenang Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-30 mengakui kekasihnya itu seorang yang fokus pada kerja.

Sikap ditonjolkan Adam itu menguatkan lagi keyakinan Sweet yang menyifatkan Adam seorang yang setia pada cintanya.

“Sewaktu kami berlakon bersama, dia jenis tak bergaul sangat. Dia fokus pada kerja saja. Dia bergaul apabila perlu saja.

“Mungkin sebab sudah nampak cara dia bekerja, dari situ saya boleh nilai dia seorang yang fokus pada kerja dan sekali gus boleh setia dalam perhubungan.

“Sikapnya itu membuatkan saya tak perlu risau. Jadi, tidak timbul isu tak percaya atau curang,” katanya.

SASAR KAHWIN SEBELUM 30 TAHUN

Pastinya dalam pada meraikan keindahan makna cinta itu, Sweet berkongsi dia menyasarkan untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Cuma, fokus dan keutamaan Sweet sekarang adalah pembelajaran dan kerjaya.

“Soal kahwin, mak kata nanti dulu. Sebab saya pun masih belajar dan habiskan dulu. Selepas itu, saya nak fokus dua ke tiga tahun dalam kerjaya.

“Kalau sepanjang tempoh itu masing-masing sudah stabil dari segi kerjaya, kewangan dan kedudukan, mungkin akan ke fasa seterusnya. Saya merancang nak kahwin antara usia 25 hingga 30 tahun.

“Lagipun, Adam sekarang baru orang mulai kenal dan nampak bakatnya. Jadi, saya tak nak terlalu ‘pegang’ dia. Nanti peminat akan berasa susah nak dekat dia pula,” katanya.

ADAM dan Sweet bersikap terus terang dipraktikkan selama ini menjadikan mereka selesa.
ADAM dan Sweet bersikap terus terang dipraktikkan selama ini menjadikan mereka selesa.

Sweet berkongsi, ibunya pada mulanya tertanya-tanya apabila memaklumkan hubungannya dengan Adam.

“Alhamdulillah, mak okey. Sejujurnya, saya tak menjangka boleh jatuh cinta dengannya. Betul kata orang, perkara yang tak jangka itulah akan berlaku secara tiba-tiba.

“Sehinggakan mak pada mulanya tertanya-tanya juga. Sebab dulu, saya memang niat tak nak ada hubungan dengan orang dalam bidang sama. Takut berasa diri susah. Pengalaman daripada senior sebelum ini buatkan saya takut.

“Tapi, macam saya katakan, dia jenis fokus pada kerja. Itu yang buatkan saya selesa. Pada tahap ini, kami ibaratkan hubungan ini macam kawan rapat yang mana masing-masing kejar cita-cita.

“Insya Allah, kalau dah capai cita-cita dan menjadi, baru akan teruskan dengan langkah seterusnya,” katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Sweet baru saja terbabit dalam penggambaran filem Pusaka yang turut menampilkan pelakon popular lain seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Hafidz Roshdi dan ramai lagi.

Menurutnya, itu kali pertama dia diberikan watak utama dalam filem.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:31 AM