MIRA mahu kejayaan diraih diperoleh atas nama karya atau hasil kerja diingati umum.
MIRA mahu kejayaan diraih diperoleh atas nama karya atau hasil kerja diingati umum.
Rudy Imran Shamsudin


ADA artis berpendapat kemenangan di majlis anugerah membabitkan undian peminat seperti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tidak seharusnya dipertikaikan.

Sebaiknya hargai saja anugerah dimenangi dan menganggap ia pemberian daripada peminat dalam mengangkat kerjaya artis yang mereka sayangi.

Bagaimanapun, berbeza dengan pemenang Bintang Paling Popular, ABPBH ke 32, Mira Filzah, 26, yang mahu kejayaan diraih biarlah diperoleh atas nama karya atau hasil kerja diingati umum.

Ditemui di malam kemuncak ABPBH 32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebaik menerima anugerah dimenangi malam kelmarin, Mira berkata, jika boleh dia tidak mahu kemenangannya menjadi persoalan atau pertikaian umum.

DETIK gembira ketika Mira diumum memenangi Bintang Paling Popular ABPBH 32.
DETIK gembira ketika Mira diumum memenangi Bintang Paling Popular ABPBH 32.

“Sebenarnya saya rasa kurang senang jika ada yang bertanya kenapa saya menang dan atas sebab apa saya menang. Pada saya kalau boleh biar kemenangan ini berbaloi dan setaraf dengan kerja.

“Contohnya apabila saya memenangi anugerah ini, orang akan kata saya berhak kerana hasil kerja dan ia diingati ramai,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Mira membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000 sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Hadiah disampaikan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 1990, Aishah.

Sebelum diumumkan sebagai pemenang Bintang Paling Popular, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman memenangi dua kategori utama iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa.

Undian diterima Mira sebanyak 6,320,463 undi mengatasi jumlah undian diterima penyanyi popular Siti Nordiana yang juga pesaing terdekat pelakon filem Sangkar itu.

Siti Nordiana juga memenangi dua anugerah utama iaitu Penyanyi Wanita Popular DuitNow dan Pengacara TV Popular.

MIRA (dua dari kanan) bergambar bersama AC Mizal (dari kiri), Syafi q Kyle, Penaja Utama ABPBH 32, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil dan Elly Mazlien. FOTO Rosela Ismail
MIRA (dua dari kanan) bergambar bersama AC Mizal (dari kiri), Syafi q Kyle, Penaja Utama ABPBH 32, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil dan Elly Mazlien. FOTO Rosela Ismail

Mira berkata, dia yakin kemenangannya itu berkait rapat dengan kejayaan filem Sangkar yang mencatat kutipan lebih RM10 juta dan drama bersiri Sweet Dreams dibintanginya menjadi ‘trending’ sehingga membuatkan pihak produksi menambah episod atas permintaan ramai.

“Kebetulan pencapaian itu berlaku dalam musim peminat sedang membuat undian untuk ABPBH 32 ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mira tetap menghargai kelab peminatnya yang bersusah payah mengadakan kempen sehingga membolehkan dirinya menang besar.

“Sudah tentu saya mendedikasikan kemenangan ini kepada semua peminat yang bersusah payah berkorban masa dan wang ringgit semata-mata mahu melihat saya meraih kejayaan ini. Kemenangan ini untuk mereka juga,” katanya yang turut memenangi Kategori Online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular bersama Remy menerusi Pujaan Hati Kanda.

Sepanjang kempen mengundi ini berjalan, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Eksperimen Cinta dan Cinta Si Wedding Planner ini turut bersama-sama peminatnya sebagai tanda sokongan.

“Saya melihat bagaimana mereka berusaha dan bersusah payah sehingga jam 2 pagi semata-mata untuk melihat saya meraih kemenangan besar ini. Saya sangat tersentuh dan terharu dengan usaha mereka,” katanya.

MIRA membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MIRA membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

JANJI TAK ‘demand’

Ditanya adakah kemenangan itu sebagai penanda aras untuk Mira meletak harga lebih tinggi selepas ini, Mira menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya tak boleh sewenang-wenangnya meletak harga tinggi atau bersikap

‘demanding’ selepas ini. Soal bayaran ia perlu dinilai daripada hasil kerja.

“Apabila memenangi anugerah ini, apa yang perlu naikkan adalah kualiti hasil kerja dan rasa tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik buat peminat yang banyak menyokong saya selama empat tahun menjadi pelakon dan pengacara,” katanya.

Menyentuh mengenai kemenangan besar itu boleh dianggap badi dan menimbulkan rasa takut kepada penerbit atau pengarah untuk menawarkannya watak kerana bimbang Mira meletak harga tinggi, pelakon jelita itu menyangkal pandangan sedemikian.

“Saya tidak percaya kepada pandangan sedemikian. Saya percaya perjalanan rezeki sudah ditentukan Allah. Saya juga percaya selagi saya berusaha memberikan hasil kerja yang baik dan memuaskan pasti akan ada tawaran untuk saya dan secara tidak langsung mewujudkan kelangsungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:10 AM